KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa usaha memulihkan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu tidak pernah diabaikan dan kini sedang diselaraskan secara aktif dengan pihak berkaitan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kementeriannya melalui Majlis Warisan Sabah dan Jabatan Muzium Sabah sedang bekerjasama rapat dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi memastikan pemulihan bangunan bersejarah itu dilaksanakan dengan betul.
Menurutnya, proses berkenaan memerlukan penelitian khusus kerana Dewan Masyarakat Kota Kinabalu merupakan tapak warisan yang dilindungi dan tidak boleh dibaik pulih seperti bangunan biasa.
“Semua kerja perlu mematuhi Enakmen Warisan Negeri Sabah 2017 serta prinsip pemuliharaan yang bersesuaian bagi memastikan seni bina asal, keutuhan sejarah dan nilai warisan bangunan itu terus terpelihara.
“Keutamaan kita bukan sekadar membaiki sebuah bangunan, tetapi memulihkannya dengan cara yang betul, dengan memelihara sejarah, karakter dan nilai warisannya untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jafry berkata, Jabatan Muzium Sabah telah memberi panduan kepada DBKK berhubung dokumentasi teknikal, skop kerja serta kaedah pemulihan yang diperlukan sebelum projek berkenaan dapat dilaksanakan.
Katanya, kos keseluruhan projek juga perlu ditentukan berdasarkan keperluan pemuliharaan tersebut, manakala DBKK kini dalam proses memohon peruntukan yang diperlukan bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri memahami kebimbangan orang ramai terhadap keadaan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu dan menghargai keprihatinan masyarakat untuk melihat mercu tanda bersejarah itu terus dipelihara.
Jafry berkata, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan Majlis Warisan Sabah, Jabatan Muzium Sabah dan DBKK bagi memudah cara proses berkaitan serta memastikan usaha pemulihan dapat diteruskan secara bertanggungjawab dan menepati keperluan pemuliharaan warisan.
Terdahulu Dewan Masyarakat Kota Kinabalu itu dilaporkan musnah dalam satu kejadian kebakaran.






