JKNS Bawa Kempen Keselamatan Makanan ke Puncak Gunung Kinabalu

JKNS Bawa Kempen Keselamatan Makanan ke Puncak Gunung Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) membawa usaha meningkatkan kesedaran keselamatan makanan hingga ke puncak tertinggi negara menerusi Program Ekspedisi Puncak Bersih Makanan Selamat Peringkat Negeri Sabah 2026 di Gunung Kinabalu.

Program selama tiga hari dari 2 hingga 4 September itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh piawaian kebersihan di premis makanan altitud tinggi sepanjang laluan pendakian.

Ekspedisi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNS, Datin Ts. Doreen Girik Anthony Gorotud dengan penglibatan pengendali makanan, malim gunung, porter serta pendaki.

Menurut JKNS, program itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan amalan keselamatan makanan dalam kalangan kumpulan berkenaan bagi memastikan tahap kebersihan yang ketat terus dipatuhi sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu.

Sepanjang ekspedisi, pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif dilaksanakan termasuk bimbingan amali di dapur kepada pengendali makanan, sesi taklimat serta hebahan maklumat berkaitan keselamatan makanan.

Rakaman video turut dilaksanakan bagi mendokumentasikan amalan keselamatan makanan sepanjang proses pendakian.

Program itu turut menampilkan Pertandingan Explorace Keselamatan Makanan bersempena Kempen Hari Keselamatan Makanan Sedunia (WFSD) 2026.

Pertandingan interaktif yang diadakan di sekitar Gunung Kinabalu itu merupakan antara pendekatan JKNS dalam menyampaikan mesej kesihatan awam berkaitan keselamatan makanan di lokasi fizikal tertinggi di Malaysia.

Dalam pada itu, pemeriksaan premis turut dijalankan bagi menilai kelayakan menerima pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS).

Hasil penilaian mendapati restoran Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq berjaya memenuhi semua kriteria yang ditetapkan sekali gus dianugerahkan pengiktirafan BeSS.

JKNS merakamkan tahniah kepada kedua-dua premis atas pencapaian berkenaan dan berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk terus mengekalkan piawaian kebersihan serta keselamatan makanan yang tinggi demi kesejahteraan pendaki dan pengunjung.

Jabatan itu turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, Taman-Taman Sabah dan Sutera Sanctuary Lodges atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.

JKNS menegaskan kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam memastikan kesihatan pengunjung terus terpelihara selain menjamin tahap keselamatan makanan di Gunung Kinabalu.