Pembangunan Sabah Tidak Boleh Hanya Tertumpu di Bandar Besar – Hajiji

Pembangunan Sabah Tidak Boleh Hanya Tertumpu di Bandar Besar – Hajiji

0
SHARE

SEMPORNA: Pembangunan Sabah tidak boleh hanya tertumpu di Kota Kinabalu atau bandar-bandar besar, sebaliknya perlu dipergiat di setiap daerah berdasarkan keperluan dan kekuatan masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setiap daerah mempunyai potensi tersendiri yang perlu dimanfaatkan bagi membuka lebih banyak ruang untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, pembangunan komersial di Jalan Bubul, Semporna misalnya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan pembangunan Sabah dan bukan sekadar sebuah projek komersial.

“Semporna mempunyai aset semula jadi yang sangat bernilai. Namun, untuk memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat, kita memerlukan pembangunan yang saling melengkapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 dan Pecah Tanah Projek Komersil Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah di Jalan Bubul, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Semporna mempunyai keistimewaan tersendiri dan sudah dikenali di peringkat dunia menerusi keindahan pulau, kejernihan air laut serta tarikan pelancong, khususnya aktiviti menyelam.

Menurutnya, perkembangan sektor pelancongan perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan perniagaan tempatan supaya lebih banyak peluang dapat diwujudkan kepada usahawan, selain membuka peluang pekerjaan kepada anak muda Semporna.

Pada masa sama, katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan masyarakat tempatan turut menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi di daerah berkenaan.

Hajiji berkata, kedudukan strategik kawasan komersial Jalan Bubul di sepanjang laluan utama Balung-Semporna mempunyai potensi untuk berkembang sebagai salah satu kawasan perdagangan dan perniagaan baharu.

“Saya percaya, jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik, kawasan ini boleh menjadi salah satu pemangkin kepada perkembangan ekonomi di sekitar Semporna,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Ampe (Semporna) Sdn. Bhd. mempertimbangkan pembinaan sebuah jeti berikutan kawasan pembangunan itu mempunyai sungai dan terletak berhampiran laut.

Katanya, kemudahan jeti yang sesuai dan menarik mampu memberi nilai tambah kepada kawasan berkenaan dengan membolehkan orang ramai menikmati pemandangan sungai dan laut, bersantai serta menikmati matahari terbenam.

“Kita ingin manfaatkan keindahan yang Allah sudah berikan kepada Semporna ini sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, tahun ini menandakan permulaan fasa baharu pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030 sebagai kesinambungan kepada SMJ 1.0.

Katanya, SMJ 2.0 dirangka bagi melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah, di samping memastikan pembangunan negeri kekal inklusif serta mampan.

“Kita mahu Sabah yang ekonominya lebih pelbagai, lebih banyak memberi peluang kepada rakyat dan kita mahu modal insan yang lebih bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan.

“Dan kita mahu pembangunan yang akhirnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyediakan persekitaran kondusif untuk pembangunan menerusi pengukuhan infrastruktur, penambahbaikan penyampaian perkhidmatan dan usaha menarik pelaburan yang sesuai.

Pada masa sama, kerjasama dengan sektor swasta dan semua pihak berkepentingan akan terus diperkukuhkan kerana pembangunan Sabah bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata.

“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi tempat pelaburan. Kita mahu anak Sabah menjadi sebahagian daripada pelaburan dan pertumbuhan itu,” katanya.

Beliau menegaskan kemajuan negeri perlu dirasai semua lapisan masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar, usahawan besar mahupun kecil serta golongan muda dan generasi lebih berusia.

Kerajaan Negeri, katanya, akan terus memberi perhatian kepada pembangunan setiap daerah dengan memastikan potensi yang ada tidak dibiarkan tanpa dimanfaatkan.

“Tidak ada daerah yang terlalu jauh dan tidak ada potensi yang harus kita biarkan begitu sahaja,” katanya.