Kes Bunuh 17 Tahun Lalu, Seorang Lelaki Ditahan di Inanam

Kes Bunuh 17 Tahun Lalu, Seorang Lelaki Ditahan di Inanam

0
SHARE

PENAMPANG: Selepas 17 tahun kejadian pembunuhan seorang lelaki di Beverly Hills, Penampang, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, ASP Arisanti Aziz berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sebuah kediaman sekitar Kolombong, Inanam, Kota Kinabalu, pada 22 Oktober lalu.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat hasil usaha pengesanan dan siasatan berterusan pihak polis berhubung kes pembunuhan yang berlaku pada 11 April 2009.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang berlaku pada 11 April 2009 di Beverly Hills, Penampang.

“Kejayaan tangkapan ini membuktikan komitmen dan kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah serta memastikan individu yang disyaki terlibat dalam jenayah serius terus dikesan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Arisanti berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Katanya, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah juga hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai.