Dua Lelaki Ditahan Miliki Dadah dan Senjata Berbahaya di Lahad Datu

Dua Lelaki Ditahan Miliki Dadah dan Senjata Berbahaya di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Polis menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan menerusi pelaksanaan Ops Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu malam, semalam.

Dalam tangkapan pertama, seorang lelaki warga Filipina berusia 38 tahun ditahan selepas ditemui memiliki 0.22 gram dadah disyaki syabu. 

Pemeriksaan lanjut ke atas beg yang dibawanya turut menemukan dua bilah pisau dan sebilah gunting, dipercayai senjata berbahaya.

Suspek juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, dan hasil saringan awal air kencing mendapati dia positif Amphetamine (Amp) dan Methamphetamine (Meth).

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 12(2)** dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) serta Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam tangkapan kedua, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan apabila pemeriksaan menemui 0.19 gram syabu.

Hasil ujian saringan awal juga menunjukkan suspek positif Methamphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) ADB 1952.

Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Pihak polis menegaskan komitmen mereka untuk terus memperhebatkan usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan jenayah berkaitan di daerah ini.

Orang ramai diseru untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.