Tidak Wajar Anti-Vaksin Sebar Maklumat Palsu Dan Lempar Tuduhan Negatif Kepada Kerajaan...

Tidak Wajar Anti-Vaksin Sebar Maklumat Palsu Dan Lempar Tuduhan Negatif Kepada Kerajaan – David Chan

0
SHARE
Presiden Persatuan Pengguna Bijak Sabah, David Chan...

KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata rata-rata pengguna yang sedang dan dalam proses untuk melengkapkan dos vaksinasi COVID-19 amat berterima kasih dengan segala usaha daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Chan berkata maklum balas positif ini terutamanya datang dengan pengumuman pertambahan bantuan untuk negeri Sabah yang dibuat oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) baru-baru ini.

“Semasa lawatan kerja KJ ke Sabah pada Isnin lalu, banyak pengumuman yang menggembirakan rakyat Sabah diumum beliau dari segi vaksinasi dan keperluan untuk menangani pandemik COVID-19 di Sabah secara keseluruhanya…

“Ini termasuk usaha ‘mobile outreach’ (program jangkauan) yang akan dijalankan untuk mempercepatkan lagi proses pemberian vaksinasi kepada penduduk seluruh negeri Sabah,” katanya satu kenyataan hari ini.

Tambah David lagi, usaha berterusan kerajaan dalam memastikan semua penduduk tanpa mengira status warganegara untuk mendapatkan dos vaksin COVID-19 lengkap adalah satu usaha yang wajar diberi sokongan dan kerjasama.

“Tidak wajar jika ada pihak anti-vaksin menyebarkan maklumat tidah sahih (PALSU) tentang vaksin dan kemudian menuduh kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan ujikaji…

“Ini salah satu daripada banyak fitnah yang kita boleh lihat di media sosial. Ini sifat yang tidak bermoral bagi menghalanh usaha kerajaan membendung COVID-19 di negara kita sejak awal lagi.

“Kita juga amat bersyukur kerana Menteri Kesihatan kita, saudara KJ turut memberitahu bahawa vaksin jenis CanSino yang merupakan vaksin dos tunggal akan diberikan kepada Sabah sebagai keutamaan dengan jumlah 300,000 dos dalam masa terdekat.

“Usaha ini pasti akan mempermudahkan pergerakan sukarelawan dan petugas yang bertanggungjawab untuk memberikan suntikan vaksin kepada semua penduduk khasnya bagi mereka yang berada di kawasan pedalaman dan agak terpencil,” tambah David lagi.

David turut menyeru agar semua pihak untuk tampil mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19 mereka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dibuka secara ‘walk-in’.

“Ambil peluang yang diberikan ini, hadir ke PPV jika temujanji melalui aplikasi MySejahtera masih belum menetapkan tarikh bagi anda menerima suntikan vaksin COVID-19…

“Kita mahu menjalani kehidupan kita seperti sedia kala, dan untuk tujuan itu, kita mesti mendapatkan vaksin COVID-19, membentuk perlindungan imuniti berkelompok dengan melindung diri kita dan orang sekeliling sekaligus membentuk negara dan persekitaran yang sihat,” ujar David lagi.