Penduduk Silam Tak Kenal ADUN, Tapi Kenal Puan Mizma

Penduduk Silam Tak Kenal ADUN, Tapi Kenal Puan Mizma

0
SHARE

LAHAD DATU, 1 Nov — Suasana di perkampungan air sekitar Lahad Datu khususnya di Kampung Puyut, Panji, Air dan Bakau, memperlihatkan satu naratif jelas menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-17 Sabah di mana majoriti penduduk tidak mengenali wakil rakyat semasa, sebaliknya menyebut nama Datuk Mizma Appehdullah, tokoh wanita GRS yang semakin mendapat perhatian di kawasan ini.

Dahlia Pattacibu

“ADUN bukan Puan Mizma? Dia selalu masuk santuni kami, seperti bagi bakul makanan,” kata Dahlia Pattacibu, 67, seorang warga emas sambil tersenyum ketika ditemui Sabah News.

Suara Dahlia menggambarkan perasaan ramai penduduk di perkampungan air ini, yang rata-rata merasakan kehadiran wakil rakyat sedia ada semakin kabur.

Bagi mereka, keakraban dan kehadiran fizikal lebih bermakna berbanding sekadar nama pada papan tanda atau poster pilihan raya.

Mohd Izwan Fahmi Dahlan

“Saya nak kampung saya kelihatan lebih bersih dan terjamin. ADUN tempat ni saya tak kenal,” ujar Mohd Izwan Fahmi Dahlan, 22, mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang bakal mengundi buat kali pertama. “Sebagai pengundi muda, saya perlukan pemimpin yang berkarisma.”

Roslan Mahmud

Roslan Mahmud, 72, pula mengakui politik di Lahad Datu masih “bercelaru”:

“ADUN pun tak kenal di sini. Tak pernah nampak wakil rakyatnya,” katanya ringkas.

Erlina Cambong

Bagi warga emas Erlina Cambong, 70, nama Datuk Mizma jauh lebih dikenali.

“Mana ada makcik kenal ADUN di sini. Kami cuma kenal Puan Mizma. Suka tengok caranya buat kerja,” ujarnya.

Aripuddin Mohd Tahir

Aripuddin Mohd Tahir, 62, menambah: “Tak pernah saya nampak ADUN di sini. Yang selalu tengok aktif di Facebook, Puan Mizma. Saya akan sokong dia. Untuk pilihan raya kali ini, saya tak pilih bangsa. Yang penting pemimpin adil dan bukan pilih keluarga.”

Bagi pengundi pertengahan umur seperti Saharimin Sardik, 38, kehadiran Datuk Mizma di lapangan menjadi faktor penentu penilaian bagi pengundi.

Saharimin Sardik

“Saya lupa nama ADUN, tapi saya kenal Datuk Mizma. Saya akan pilih beliau sebab rajin turun padang.”

Nada itu turut disambut oleh Mohamad Sakiran, 32, nelayan yang kini cenderung ke arah GRS.

Mohamad Sakiran

“Dulu saya undi WARISAN, tapi tak nampak hasilnya. Kali ini saya undi GRS. Dah lima kali saya mengundi,” katanya sambil mengeluh tentang pendapatan tidak tetap yang bergantung kepada hasil laut.

Mohd Jasrul Jumilkan

Suara belia seperti Mohd Jasrul Jumilkan, 25, pula mencerminkan pengundi muda celik media sosial.

“Saya tak tahu siapa wakil rakyat di sini, tapi saya kenal Datuk Mizma. Saya nampak dia buat event di Facebook. Sebagai belia, saya nak tengok apa dia boleh tawarkan. Harap dia boleh baiki jambatan di sini.”

Parmasiah Matsakin

Sementara itu, Parmasiah Matsakin, 28, dan Noorsamila Mohd Darwis, 30, turut berkongsi pandangan sama:

“Saya pun tak pernah nampak ADUN di sini. Datuk Mizma saya kenal. Rajin turun padang, bantu penduduk.”

Noorsamila Mohd Darwis

“YB di sini saya tak kenal. Puan Mizma saya kenal. Dia bagus, prihatin bantu orang susah.”

Isu Sampah & Kesedaran Komuniti

Walaupun perkampungan air di Lahad Datu sering berdepan masalah sampah yang hanyut dan tersangkut di bawah rumah-rumah penduduk, usaha membersihkan kawasan itu tetap diteruskan oleh komuniti setempat.

Dengan kerjasama Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) dan sukarelawan kampung, penduduk mengadakan gotong-royong bagi membersihkan sampah hanyut, termasuk mengutip botol plastik dan sisa makanan yang dibawa arus laut.

Pekerja pembersihan sedang membersihkan kawasan di persekitaran kampung air.

Namun, menurut beberapa penduduk, mereka mengeluh kerana tiada bantuan atau program besar daripada wakil rakyat kawasan, walaupun keadaan kebersihan semakin membimbangkan.

“Kadang-kadang kami buat gotong-royong sendiri. Wakil rakyat tak pernah turun. Alasannya, mereka kata kawasan ni pembangkang, susah nak buat kerja sebab tak pegang kerajaan negeri,” kata salah seorang penduduk ketika ditemui.

Penduduk juga berharap agar pihak berkuasa terus meningkatkan kesedaran kebersihan dan menyediakan kemudahan tong sampah terapung di kawasan kampung air bagi mengurangkan pencemaran yang menjejaskan kesihatan dan imej bandar Lahad Datu.

Latar Belakang Silam: Dari Kubu UMNO ke Gelombang WARISAN

DUN Silam yang terletak di daerah Lahad Datu mempunyai sejarah politik yang panjang dan menarik, mencerminkan turun naik dua kuasa utama Sabah — UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN). Dahulu dikenali sebagai DUN Lahad Datu, kawasan ini menjadi kubu kuat UMNO sejak awal 1990-an selepas parti itu bertapak di Sabah. Tokoh-tokoh keluarga Apdal menjadikan kawasan ini antara pangkalan politik utama UMNO di pantai timur negeri.

Namun selepas 2018, arus politik berubah apabila pengaruh Datuk Seri Shafie Apdal melalui WARISAN menembusi kubu tradisional BN, sekali gus mengubah landskap politik Lahad Datu dan Silam.

DUN Silam kini diwakili oleh Dumi Pg. Masdal daripada WARISAN, yang memenangi kerusi ini dua penggal berturut-turut — pada 2018 (ketika masih dikenali sebagai DUN Lahad Datu) dan 2020. Dalam PRN 2020, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti sekitar 1,542 undi, jauh berkurangan berbanding kemenangan selesa lebih 2,900 undi pada 2018.

Perbezaan itu menandakan pengaruh WARISAN di Silam mula diuji, terutama selepas kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal pada 2020 dan kemunculan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Gabungan baharu ini bukan sahaja menawan pentadbiran negeri, malah menggerakkan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Pertarungan GRS-WARISAN-BN

Datuk Mizma Appehdullah, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N62 Silam

Menjelang PRU-17 Sabah pada 28 November ini, DUN Silam dijangka sekali lagi menjadi gelanggang sengit di pantai timur negeri.

Selain WARISAN yang mempertahankan kubu lamanya, dijangkakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah akan turut mencabar BN, WARISAN serta beberapa parti baharu lain.

Ini kerana suara pengundi di perkampungan air jelas mempersoalkan keberkesanan wakil rakyat sedia ada dan menuntut pemimpin yang lebih dekat dengan rakyat.

Dengan majoriti kecil pada penggal lalu serta peningkatan daftar pengundi baharu sekitar 15 peratus, pertarungan kali ini dijangka menjadi penentu sama ada pengaruh WARISAN masih kukuh atau momentum GRS mampu menawan semula kawasan tradisi Lahad Datu–Silam.