Sekolah Bukan Tempat Hidangan Arak – Dr Abdul Rahman

Sekolah Bukan Tempat Hidangan Arak – Dr Abdul Rahman

0
SHARE
Dr Abdul Rahman

KOTA KINABALU: Laporan mengenai minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis di kawasan sekolah menimbulkan kebimbangan awam.

Pakar kesihatan awam menegaskan bahawa sekolah mesti kekal sebagai ruang pembentukan sahsiah dan bukannya tempat yang menormalisasikan tabiat berisiko.

“Sekolah ialah pusat pembelajaran, disiplin dan pembangunan moral. Ia bukan tempat untuk aktiviti yang bercanggah dengan nilai ini,” kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Abdul Rahman Ramdzan.

Beliau menegaskan bahawa Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan No. 3 Tahun 2018 dengan jelas melarang sebarang program atau penajaan melibatkan arak, judi, rokok dan dadah.

Dari sudut kesihatan awam, katanya, alkohol adalah antara bahan paling berbahaya di dunia, dikaitkan dengan lebih tiga juta kematian setiap tahun akibat penyakit hati, kanser, masalah mental dan keganasan sosial.

“Apabila sekolah membenarkan majlis berkaitan alkohol diadakan di premisnya, ia memberi isyarat bahawa bahan itu diterima dalam masyarakat, sekali gus menjejaskan usaha pendidikan kesihatan awam selama ini,” katanya.

Dr Abdul Rahman turut menekankan bahawa larangan alkohol sejajar dengan prinsip maqasid syariah yang menuntut perlindungan akal dan keturunan.

“Menjaga kesucian sekolah daripada pengaruh arak adalah tanggungjawab moral dan sosial, bukan soal budaya atau agama,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa menghormati larangan alkohol di sekolah bukan sekadar isu agama, tetapi langkah membina masyarakat yang sihat, berdisiplin dan berintegriti.