KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melancarkan melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada esok (16 Feb).
Menurut pengumuman oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam satu hantaran yang dimuatnaik di Facebook rasmi milik mereka, perkara itu dibuat selari dengan program vaksinasi yang akan dijadualkan bermula hujung bulan ini.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melancarkan Buku Panduan Pelan Imunisasi pada 16 Februari 2021, jam 9.30 pagi,” menurut jawatankuasa itu.
Menurut JKJAV lagi, segala maklumat berhubung pendaftaran program vaksinasi boleh dilakukan antaranya melalui aplikasi MySejahtera.
Berdasarkan infografik yang diterbitkan JKJAV, Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan merangkumi strategi perolehan bekalan vaksin serta pelaksanaan dan pemantauan program imunisasi COVID-19.
Pelan berkenaan turut merangkumi penerangan mengenai empat (4) komponen utama.
Komponen berkenaan adalah bekalan vaksin, kumpulan sasaran fasa pemberian vaksin, lokasi dan pelaksanaan pelan imunisasi serta tenaga kerja pelaksanaan.
Bagi memastikan kelancaran pelan berkenaan, ia memerlukan kerjasama pelbagai agensi dalam pelaksanaan pelan itu.
Sehubungan itu, JKJAV bersama-sama dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan berganding bahu untuk memastikan kelancaran pelaksanaan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Terdahulu pada Jumaat lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan Perdana Menteri akan menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 apabila bekalannya tiba di Malaysia hujung bulan ini.

Khairy (KJ) yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, Perdana Menteri akan menerima suntikan vaksin Pfizer bagi memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa kegunaannya adalah selamat.
Memetik penjelasan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pada kelmarin yang berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan 126,000 individu mampu diberikan suntikan vaksin COVID-19 setiap hari di 600 lokasi vaksinasi seluruh negara.

Kerajaan menyasarkan 80 peratus (80%) pendudukan bersamaan 26 juta individu untuk menerima suntikan vaksin secara percuma.
Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan terbahagi kepada TIGA (3) FASA.
FASA PERTAMA merangkumi pemberian vaksin yang disasarkan kepada 500,000 petugas hadapan seperti kakitangan kesihatan dan bukan kesihatan. Ia akan tamat pada April depan.
FASA KEDUA pula bermula April sehingga Ogos depan meliputi pemberian vaksin kepada seramai 16 juta orang kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas berusia 60 tahun ke atas, golongan rentan yang mengalami penyakit kronik seperti penyakit penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta Orang Kurang Upaya (OKU).
FASA KETIGA membabitkan pemberian vaksin bagi golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas dan ia adalah fasa paling penting untuk membentuk imuniti kelompok dengan sasaran 16 juta orang, bermula Mei hingga Februari 2022.