KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan 5.9 peratus kadar penagih dan penyalah guna dadah atau bahan pada tahun 2025, dengan jumlah kes menurun daripada 9,207 pada 2024 kepada 8,665 kes.
Kadar tersebut bersamaan 230 individu bagi setiap 100,000 penduduk, sekali gus meletakkan Sabah antara negeri terbaik dalam negara dari segi kawalan penyalahgunaan dadah.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu pelbagai pihak dalam menangani isu berkenaan.
“Ini adalah bukti nyata keberkesanan tindakan bersepadu semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah serta bahan terlarang di Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mesyuarat tersebut turut meluluskan dua inisiatif utama iaitu perluasan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) sektor awam negeri serta pemerkasaan SKUAD Antidadah bagi memperkukuh daya tahan komuniti.
Selain itu, AADK terus mempergiat Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) di Kampung Likas dan Kampung Benoni, Papar, serta pelaksanaan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) yang menggabungkan pendekatan “top-down” dan “bottom-up”.
Langkah bersepadu ini diyakini mampu memperkukuh benteng sosial masyarakat dan mengurangkan permintaan terhadap dadah, selaras dengan sasaran Dadah Terkawal 2030.






