Pemandu Viva Maut Selepas Kemalangan Dengan Bas Persiaran di Likas

Pemandu Viva Maut Selepas Kemalangan Dengan Bas Persiaran di Likas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pemandu Perodua Viva maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah bas persiaran sehingga menyebabkannya tersepit di dalam kenderaan di hadapan Petronas Likas, di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah bas persiaran dan Perodua Viva.

Seorang mangsa lelaki yang juga pemandu Perodua Viva didapati tersepit di dalam kenderaan sebelum pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas.

Mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Operasi membabitkan enam anggota FRT dan empat anggota EMRS itu ditamatkan pada jam 1.57 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa dikenal pasti sebagai lelaki warga Indonesia berusia 46 tahun yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) kira-kira jam 3.50 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Inanam dipercayai keluar dari jalan susur untuk membuat pusingan U.

Pada masa sama, sebuah bas dipandu lelaki berusia 34 tahun sedang bergerak lurus dari arah pusat bandar raya Kota Kinabalu menuju ke Inanam sebelum berlaku perlanggaran.

“Bas berkenaan melanggar bahagian sisi kiri Perodua Viva menyebabkan kenderaan itu terseret kira-kira 15 meter,” katanya.

Shahrudin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE II sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Katanya, bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) selepas waris mangsa dikesan.

Polis turut mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.