AMK Sabah Sokong Cadangan Kuota BUDI Diesel Dinaikkan Kepada 500 Liter Sebulan

AMK Sabah Sokong Cadangan Kuota BUDI Diesel Dinaikkan Kepada 500 Liter Sebulan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menyambut baik cadangan supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peningkatan kuota subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI kepada 500 liter sebulan bagi penerima yang layak di Sabah.

Ketuanya, Zaidi Jatil berkata, cadangan yang dibangkitkan wakil pembahas Sabah, Junaidah Makku pada Kongres Nasional KEADILAN semalam itu munasabah dan wajar diberikan penelitian oleh Perdana Menteri serta Kerajaan MADANI.

Menurutnya, keperluan penggunaan diesel di Sabah perlu dinilai berdasarkan realiti geografi, jarak perjalanan dan kegiatan ekonomi rakyat negeri itu yang berbeza berbanding kebanyakan kawasan lain di negara ini.

Sabah mempunyai keluasan geografi, bentuk muka bumi dan jaringan perhubungan yang berbeza. Masih terdapat masyarakat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk ke pekan, menghantar hasil pertanian, menjalankan perniagaan atau mendapatkan perkhidmatan asas.

“Dalam keadaan sedemikian, penggunaan diesel bukan semata-mata soal pilihan, tetapi bagi sebahagian rakyat ia merupakan keperluan untuk meneruskan kehidupan dan mencari rezeki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaidi berkata, kadar subsidi yang dianggap mencukupi berdasarkan pengiraan umum belum tentu memenuhi keperluan sebenar penduduk apabila mengambil kira jarak perjalanan di Sabah.

Katanya, AMK Sabah menyokong usaha Kerajaan MADANI melaksanakan subsidi secara lebih bersasar bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar juga perlu mengambil kira perbezaan keperluan antara wilayah supaya rakyat di kawasan luar bandar tidak terpaksa menanggung kos lebih tinggi disebabkan faktor geografi.

“Justeru, kami berharap cadangan kuota 500 liter sebulan ini dapat dinilai secara objektif berdasarkan data, jarak perjalanan, aktiviti ekonomi serta keperluan sebenar rakyat Sabah.

“Kita tidak mahu rakyat di kawasan luar bandar terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi hanya kerana perjalanan mereka lebih jauh daripada orang lain.

“Sabah tidak meminta layanan istimewa. Kita hanya mahu keperluan Sabah dinilai berdasarkan realiti Sabah,” katanya.

Zaidi berkata, AMK Sabah percaya Kerajaan MADANI terbuka mendengar pandangan rakyat dan melakukan penambahbaikan sekiranya sesuatu dasar memerlukan penyelarasan.

Beliau berharap cadangan yang dibawa menerusi Kongres Nasional KEADILAN itu diberikan pertimbangan sewajarnya bagi memastikan manfaat subsidi diesel benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.