G57 DESAK WAKIL RAKYAT PARTI WARISAN SABAH MOHON MAAF

G57 DESAK WAKIL RAKYAT PARTI WARISAN SABAH MOHON MAAF

0
SHARE
Zulkarnain
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar (Sumber Foto: Ihsan G57)

KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku dari Parti Warisan Sabah (WARISAN), Assaffal Alian membuat permohonan maaf secara terbuka atas tuduhan kerajaan Persekutuan menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata kenyataan yang dibuat Assaffal ketika berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada minggu lalu dan telah disebar luas melalui rakaman video.

Menurutnya, pihaknya menyifatkan tindakan tersebut jelas menunjukkan ia merupakan satu perbuatan amat tidak bertanggungjawab dan juga mengancam kedaulatan negara.

“Kenyataan media Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin hari ini secara jelas menyebut perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia, hanya membabitkan laut wilayah dan ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

“Mohamad Alamin juga turut menegaskan bahawa sebagai Ahli Parlimen daripada Sabah, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam apa sahaja membabitkan triti terutama membabitkan sempadan negara kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Susulan itu, beliau turut menyifatkan cara pemimpin WARISAN berpolitik adalah amat berbahaya.

“Ironinya ketika ini, bukan sahaja sasaran fitnah mereka sebelum ini terarah kepada Datuk Seri Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah tetapi Kerajaan Perpaduan dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi sasaran baru mereka.

“Justeru G57 mendesak agar ADUN Tungku itu segera membuat permohonan maaf kepada kerajaan termasuk seluruh rakyat Sabah dan turut mengesa dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan selepas sengaja berbohong serta mengelirukan DUN,” katanya.