Isu Ambalat: Kenyataan Assafal Dilihat Sebagai Ancaman Kedaulatan Negara

Isu Ambalat: Kenyataan Assafal Dilihat Sebagai Ancaman Kedaulatan Negara

0
SHARE
Mohamad
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

PUTRAJAYA, SELANGOR – Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P. Alian, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini sebagai ancaman kepada kedaulatan negara.

Assafal mendakwa kerajaan Persekutuan bagi pihak negeri telah menyerahkan blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia dengan mengatakan ia adalah salah satu daripada banyak kecuaian kerajaan negeri yang membawa kepada kerugian.

Mohamad membidas komen Assafal dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab, memfitnah dan mengelirukan rakyat Malaysia.

“Isu ini sebenarnya sudah banyak kali dijelaskan. Malaysia dan Indonesia telah menandatangani perjanjian mengenai persempadanan laut wilayah yang melibatkan kedua-dua negara.

“Perjanjian Laut Sulawesi yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia hanya melibatkan laut wilayah dan bukannya kawasan yang diisytiharkan sebagai Ambalat atau lebih 200 batu nautika yang dikatakan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ),” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, semua rundingan membabitkan sempadan maritim negara telah dirunding dan ditandatangani pada 8 Jun lalu semasa lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo, bersama kerajaan Sabah.

“Tegasnya, kerajaan negeri Sabah amat maklum mengenai perjanjian Laut Sulawesi yang dirunding dan ditandatangani dengan Indonesia.

“ADUN Tungku kena bertanggungjawab kerana kenyataannya jauh dari kebenaran kerana kita belum berunding kawasan yang dipanggil sebagai Ambalat,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa berhati-hati dalam apa jua perkara yang melibatkan perjanjian terutama membabitkan sempadan negara kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

“Oleh kerana kenyataan itu dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, saya serahkan kepada kebijaksanaan Speaker untuk mengambil tindakan walaupun kini tersebar di media sosial.

“Butiran perjanjian itu tidak boleh didedahkan buat masa ini kerana Indonesia masih belum meratifikasinya di Parlimen mereka,” katanya.