KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menegaskan setiap parti politik mempunyai hak untuk menjelaskan dasar parti masing-masing.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Yong berkata kenyataan Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berhubung cadangan pihaknya untuk bertanding semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang disifarkan sebagai reaksi keterlaluan.
“Setiap parti politik ada prinsip terasnya. Prinsip teras SAPP mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan autonomi Sabah sangat jelas.
“Phoong patut tahu, hak untuk menjelaskan dasar parti seseorang bukanlah monopoli eksklusif DAP.
“Saya bercakap dengan ahli parti saya pada mesyuarat agung tahunan cawangan parti. Ahli parti kami yang setia dan berdedikasi berhak mengetahui pendirian parti.
“Kami sudah tentu akan saling berhubungan dengan rakan kongsi kami dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Dalam pada itu, Yong turut menambah Phoong tidak berhak untuk mengambil tindakan campur tangan mengenai urusan di antara parti komponen dalam GRS.
“Berita mengenai SAPP bertanding atas simbol GRS dan calon GRS tidak ada kena mengena dengan Phoong. Kenapa reaksi dia keterlaluan?” katanya.






