KOTA KINABALU, SABAH – Institusi perguruan kedua tertua di Sabah, Institut Perguruan Kampus Gaya (IPGK) telah menjadikan Sekolah Kebangsaan Mandalipau, Papar sebagai lokasi Program Gaya Community Leadership Education Outreach (Gaya CLEO) 2023, Mei lalu.
Paling signifikan, inovasi Interactive English Learning Site (i-FIFYS) dan aktiviti Kenali Huruf dan Menulis (KeRuLis) yang masing-masing dibawakan oleh Jabatan Bahasa dan Jabatan Pengajian Melayu sebagai medium bersumberkan formula pembelajaran digitalisasi untuk membantu penyampaian, memudahkan pembelajaran dan pemahaman murid bagi meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris serta Bahasa Melayu dalam kalangan murid.
Nama Mandalipau
Sehingga hari ini, belum ada sumber yang menyebut maksud ‘Mandalipau’ secara jelas namun, daripada banyak versi terdapat satu versi yang paling dekat. Ia berdasarkan cerita lisan penduduk kampung terbabit yang menyebut Mandalipau berasal daripada perkataan Dusun ‘mogilapau-lapau’ yang bermaksud berlapis-lapis atau bertingkat-tingkat.
Dalam konteks ini, ia merujuk kepada batu-batu besar yang unik di hulu Sungai Mandalipau kerana susunannya yang rapi serta bertingkat-tingkat. Paling menarik, ada yang mengaitkannya dengan kepahlawanan iaitu batu-batu tersebut dikatakan disusun oleh para pahlawan Dusun yang terletak di laluan ‘rapot’ di antara Apin-Apin, Keningau dan Papar.
Pada hari ini, Mandalipau merupakan antara destinasi ekopelancongan yang popular menerusi Olumnis River. Ia terletak di dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Mandalipau sekali gus menjadi harapan masyarakat agar lokasi itu menjadi tarikan kepada pengunjung luar.
Gedung Ilmu di Kampung Mandalipau
Terletak dalam Daerah Papar dengan jarak kira-kira 45km dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar dan 50km dari ibu negeri, SK Mandalipau kini diterajui oleh Guru Besar, Asmah Salleh yang dibantu oleh tiga orang kakitangan bukan mengajar dengan 11 guru serta 67 orang murid dari pra sekolah hingga Tahun 6 terdiri daripada 39 murid lelaki dan 28 murid perempuan.
Bagi memastikan murid-murid mempunyai pengetahuan dan pengalaman di luar bilik darjah (kurikulum), pihak sekolah menyediakan hanya satu kokurikulum sesuai dengan jumlah murid yang sedikit iaitu Kelab Remaja Sekolah (KRS).
“Sekurang-kurangnya, aktiviti sedemikian menjadi medan untuk perkongsian bakat, pembangunan jasmani, rohani dan pembentukan nilai-nilai murni dalam diri murid-murid,” kata Asmah.
Pelbagai Inisiatif Digerakkan
Menyedari sekolah serba kekurangan, Asmah anak jati Papar itu mengambil beberapa inisiatif untuk meningkatkan kemenjadian murid dan warga sekolah agar lebih kreatif, berdikari dan berdaya maju.
Beliau memberi dorongan kepada warga sekolah dalam mengusahakan kolam ikan talapia hitam, taman herba dan kebun sayur yang hasilnya dimasukkan ke dalam tabung sekolah untuk keperluan serta kegunaan sekolah berkenaan.
Menurut Asmah, sebagai usaha memperkasakan pendidikan STEM, pihaknya mengetengahkan keupayaan murid dalam Bahasa Inggeris, semua guru bekerjasama melatih beberapa murid terpilih untuk menjadi duta sekolah yang berfungsi sebagai pemandu pelancong dalam dwibahasa.
“Program Eko-Sekolah Lestari Mekar Serasi untuk menghijaukan kawasan sekolah yang dirancang sejak April lalu mendapat kerjasama padu rakan strategik terutama PIBG, Jabatan Pertanian Sabah dan pemimpin setempat.
“Ini menjadi tarikan kehadiran para pelajar ke sekolah dan syukur alhamdulillah SK Mandalipau merupakan sekolah yang mencapai kehadiran tertinggi sepanjang 2023 setakat ini iaitu 95.15 peratus sekali gus mencapai sasaran KPI Jabatan Pendidikan Negeri Sabah,” dedah beliau.
Inisiatif FAJAR, SINAR
Paling signifikan, Asmah yang tidak pernah berputus asa terus melaksanakan Program FAJAR yang bertujuan untuk membantu perkembangan serta kemajuan murid khususnya golongan murid yang lemah berdasarkan tahap penguasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
“Program FAJAR ini untuk murid-murid yang lemah membaca dan kebanyakan mereka ini adalah murid-murid dalam TP2 dan TP3.
“Pihak sekolah menyediakan jadual, kemudian ibu bapa atau ahli keluarga mereka membantu guru dengan mengajar anak-anak mengeja dan membaca di rumah.
“Ini merupakan komitmen ibu bapa dan keluarga untuk mengajar anak-anak di luar masa kelas selama 15 hingga 30 minit mengikut masa sendiri, kadang ada juga abang, kakak ataupun nenek yang mengajar mereka,” jelasnya.
Selain Fajar, satu lagi program seumpama dinamakan sebagai Program SINAR yang dikelola pihak sekolah di awal pagi sebelum waktu sekolah bermula iaitu jam 7.10 pagi. Ia terpulang kepada guru dan murid untuk menentukan sesi pembelajaran memandangkan ramai murid sampai awal ke sekolah.
Respons i-FIFYS, KeRuLis
Jelas Asmah, selepas program CLEO, murid-murid tampak lebih bersemangat terutama dalam subjek Bahasa Inggeris. Ini kerana inovasi i-FIFYS memberi motivasi baharu kepada murid-murid yang lemah dalam Bahasa Inggeris menerusi kaedah yang lebih menarik seperti permainan video dan menggunakan komputer.
“Murid-murid sangat teruja, ada yang kali pertama memegang mouse dan bermain permainan menyebut, menyambung perkataan dan membina ayat.
“Setiap ayat yang betul akan mendapat markah itulah yang membuat mereka sangat seronok dengan cara pembelajaran itu,” katanya.
Mengenai KeRuLis pula, ujar Asmah, ia lebih kepada pengenalan kemahiran membatang perkataan kepada murid-murid Tahap 1 yang berjumlah empat orang dengan jurang kemajuan yang sangat jauh.
Berbanding rakan-rakan dalam kelas Tahun 2, Shahrul Haizam Amirul Idham Abdullah merupakan murid yang sentiasa cemerlang dan teruja dengan inovasi KeRuLis. Anak bongsu kepada pemotong getah itu sangat gigih berusaha dalam pelajaran, malah bercita-cita menjadi pegawai Angkatan Tentera Malaysia satu masa nanti.
Rakan Shahrul, Angeli Lanius kini dilihat aktif menjawab soalan yang diutarakan gurunya dalam kelas selepas mengikuti KeRuLis dan dia ingin menjadi seorang guru apabila dewasa kelak.
Manakala, Pengawas Pusat Sumber, Aryan Alief Mark @ Aiman Barintang yang juga murid Tahun 4, merupakan antara murid yang berpotensi di SK Mandalipau dan menanam azam untuk menjadi doktor.
“Inovasi i-FIFYS sangat baik dan saya amat bersyukur jika pihak sekolah dapat menyediakan program sedemikian menerusi perkhidmatan internet,” ujar Aryan.
Berkongsi pendapat sama ialah murid Tahun 5, Gracie Havenda Rayner yang gemar menyanyi dan bermain gitar tetapi bercita-cita menjadi doktor. Dia belajar menguasai Bahasa Inggeris melalui lagu-lagu dalam Youtube yang hanya dapat dilayarinya apabila berada di luar kampung tersebut.
Rakannya, Penolong Ketua Pelajar Edrick Nocklyle Cyril, murid Tahun 5 juga senada mahukan kemudahan internet di sekolanya agar seiring dengan sekolah-sekolah lain.
Namun sedikit berbeza dengan murid Tahun 6, Joanna Fredoline yang berpendapat walaupun tiada kemudahan internet, sekurang-kurangnya ilmu yang diterap pihak sekolah sangat berharga.
“Kami belajar berdikari dengan menanam sayuran dan herba kemudian menjual hasilnya untuk keperluan sekolah. Lagi satu, murid diberi peluang mempraktikkan Bahasa Inggeris melalui pelantikan duta sekolah,” jelas Joanna yang mempunyai kakak bekerja dengan syarikat ekopelancongan di kampung terbabit.
SK Mandalipau Sekolah Berpotensi
Bermula pada tahun 2016, Kementerian Pendidikan Malaysia terus memperkasakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai salah satu kaedah pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran untuk mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid.
PBD yang dilaksanakan secara berterusan semasa proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) sepanjang tahun akan dilaporkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Papar Bakri Sudin menyatakan, daerah tersebut mempunyai 51 buah sekolah rendah dan 11 buah sekolah menengah.
Mengenai isu pasca pandemik Covid-19 yang mengaitkan murid Tahap I khususnya sekolah di luar bandar Sabah yang tidak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), Bakri berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah dan sedang melaksanakan bimbingan serta selia bantu berterusan khususnya melibatkan sekolah-sekolah fokus.
“Bimbingan ini bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan di peringkat sekolah memberi impak kepada kemenjadian murid,” jelas beliau.
Tambahnya, data yang disediakan oleh Unit PBD PPD Daerah Papar merekodkan seramai 1,934 orang murid Tahun 1 pada tahun 2021 dan 1,794 murid pada tahun 2022. Manakala, jumlah murid Tahun 2 ialah 1,871 orang (2021) dan 1,983 (2022).
“Merujuk prestasi PBD daerah, peratus murid Tahun 1 dan Tahun 2 yang Mencapai Tahap Penguasaan Minimum (MPTM) telah berjaya melepasi 70 peratus pada tahun 2021 dan 2022.
“Daripada 51 buah sekolah rendah, SK Mandalipau disenaraikan antara 10 buah sekolah luar bandar bersama-sama SJK(C) Cheng Ming, SK Daingin, SK Kaiduan, SK Kambizaan, SK Kayau, SK Kogopon, SK Lingan, SK Sumbiling dan SK Ulu Lumagar.
“Berdasarkan Peratusan Murid Mencapai Tahap Penguasaan Minimum (MTPM) Tahun 2, SK Mandalipau mencatatkan peningkatan 4.94 peratus pada tahun 2022 (93.83%) berbanding tahun 2021 (87.65%).
“Bagi Tahun 1 pula, terdapat sedikit penurunan peratus MTPM iaitu 8.33 peratus pada tahun 2022 berbanding 88.89 peratus pada tahun sebelumnya.
“Kesimpulannya, meskipun tersenarai dalam kategori sekolah pedalaman, SK Mandalipau merupakan sekolah yang berpotensi untuk berkembang maju dalam pelbagai aspek.
“Dari segi prasarana, SK Mandalipau memiliki bangunan sekolah yang konkrit namun terdapat sedikit cabaran dari segi capaian internet. Walau bagaimanapun, kita percaya kerajaan hari ini sedang mengusahakannya,” dedah beliau.
Kesimpulan
Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia hingga kini masih belum mengeluarkan sebarang statistik berkaitan buta huruf dalam kalangan murid di Malaysia, namun kerjasama daripada semua pihak perlu terus digembleng khususnya dalam kalangan murid Tahap I.
Dek jarak, kekurangan kemudahan dan bangunan sekolah yang daif, stigma masyarakat terhadap literasi dan prestasi sekolah-sekolah rendah di pedalaman seakan sukar dihapus.
Sementara menunggu kerajaan menyediakan semua fasiliti, adakah masyarakat pernah berfikir seberapa kuat dan besarnya usaha warga pendidik di pedalaman demi melahirkan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi ibarat pepatah, “di mana ada kemahuan di situ ada jalan.” — JABATAN PENERANGAN SABAH