TAMPARULI: Tiga buah rumah separuh kekal dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran yang berlaku di belakang Gereja St Philip, Tamparuli, awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB Kurong ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 12.45 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Tuaran bersama bantuan BBP Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.
“Seramai 15 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 1.01 pagi, didapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah separuh kekal serta beberapa kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, rumah pertama dan kedua yang masing-masing berkeluasan 25 kaki x 26 kaki musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut, manakala rumah ketiga berkeluasan 25 kaki x 40 kaki mengalami kerosakan kira-kira 50 peratus.
Selain itu, sebuah Proton Satria, Perodua Viva dan Mercedes turut musnah sepenuhnya, manakala sebuah Isuzu D-Max mengalami kerosakan kira-kira 20 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan segera bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.11 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.00 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan di lokasi kejadian.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Operasi tersebut diketuai oleh PBK II Mohd Zairul Amir dan melibatkan lapan anggota BBP Tuaran serta tujuh anggota dari Balai Bantuan BBP Lintas.






