DUBAI: Tentera Amerika Syarikat (AS) memaklumkan Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Kuwait dan Bahrain, namun semuanya gagal mengenai sasaran apabila sebahagiannya terlerai di udara dan selebihnya dipintas oleh sistem pertahanan.
Sebagai tindak balas, AS melancarkan serangan ke atas kemudahan ketenteraan Iran di Pulau Qeshm, Selat Hormuz, selain menembak jatuh beberapa dron yang menyasarkan tenteranya di Kuwait.
Pengawal Revolusi Iran mendakwa serangan itu menyasarkan markas Armada Ke-5 Tentera Laut AS di Bahrain sebagai tindak balas terhadap tindakan AS menyerang sebuah kapal tangki minyak.
Perkembangan itu berlaku ketika rundingan gencatan senjata dilihat tidak menentu, dengan Iran didakwa menghentikan komunikasi, namun Presiden AS, Donald Trump menegaskan rundingan masih diteruskan.
Dalam masa sama, tekanan ekonomi semakin memuncak di Iran apabila kadar inflasi mencecah 77.2 peratus pada Mei, dengan harga barangan keperluan meningkat lebih 113 peratus, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan protes baharu.






