TAWAU, SABAH – Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui sehari selepas tergelincir ke dalam sungai berhampiran Kampung Kurnia Jaya di Jalan Apas Batu 4 hari ini.
Mangsa, Adwa Iman Muhammad Iswan dijumpa pada jam 6.45 pagi tadi oleh orang awam lebih kurang 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operaasi Bomba Sabah, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Polis di lokasi.
“Berdasarkan kenyataan ibu mangsa, Adwa tergelincir ketika bermain berhampiran sungai pada lebih kurang jam enam petang, hari Isnin.
“Ibunya melihat mangsa yang memakai baju berwarna putih semasa kejadian dihanyutkan arus,” kata seorang jurucakap agensi.
Operasi melibatkan tujuh anggota bomba ditamatkan pada jam 7.40 pagi selepas mayat mangsa diserahkan kepada sepasukan tiga anggota polis untuk tindakan lanjut.