KOTA KINABALU: Seorang murid sekolah berusia 11 tahun cedera parah di bahagian kepala selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Manggatal, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.03 pagi itu, mangsa dilanggar sebuah kereta Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 69 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kereta terbabit sedang bergerak dari arah Pekan Manggatal menuju ke CKS Manggatal.
“Apabila tiba di hadapan SK Darau, Jalan Tuaran Lama, kereta berkenaan melanggar mangsa yang dipercayai berlari melintas jalan dari arah kanan ke kiri.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Shahrudin, mangsa dilaporkan masih menerima rawatan di wad kecemasan Zon Merah Hospital Likas.
Beliau berkata, kenderaan terbabit sudah ditahan bagi menjalani pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan semua pihak terlibat serta mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mazlan Mursalam di talian 012-3036605 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Shahrudin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat, berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama.






