‘Geng Pak Su’ Tumpas Di Ops Khas Sempadan

‘Geng Pak Su’ Tumpas Di Ops Khas Sempadan

0
SHARE

BUKIT KAYU HITAM – Polis sudah menahan 47 individu melalui Ops Khas Sempadan, kebanyakannya anggota Geng Pak Su yang mendalangi jenayah di sempadan Malaysia-Thailand.

Mereka terbabit dalam penyeludupan dan pemerdagangan manusia dan ditahan sepanjang tempoh ops berkenaan yang digerakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid, berkata semua suspek ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Sehingga kini 24 daripada 47 yang ditahan itu sudah dituduh di mahkamah mengikut SOSMA pada 9 Oktober lalu, manakala enam lagi dijangka dibawa ke mahkamah untuk tujuan sama esok. Baki masih dalam proses siasatan.

“Selain tindakan mengikut SOSMA dan Seksyen 130 (V) serta Seksyen 130 (W) Kanun Keseksaan (Akta 574), kita turut mengenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) ke atas lapan individu yang terbabit dalam penyeludupan migran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetui Ops Sempadan Khas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, malam tadi susulan operasi 20 jam pintu sempadan Malaysia-Thailand.

Mior Farid berkata, pihaknya memandang serius penyeludupan yang berlaku di sempadan dan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk mengatasinya.

Mengenai waktu operasi baharu pintu sempadan berkuatkuasa hari ini, beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan kawalan di kompleks ICQS baharu itu.

“Kita serius memastikan aspek keselamatan dipertingkatkan, selain keanggotaan kita yang mempunyai balai polis khas di ICQS yang pentadbirannya berasingan dengan Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

“Ini bukan sahaja untuk memenuhi keperluan operasi 20 jam, tetapi juga tempoh operasi 24 jam sehari yang dijadual bermula 1 Januari 2019,” katanya.

Ops Sempadan Khas digerakkan PDRM sejak Ogos lalu untuk memerangi kegiatan jenayah di sekitar sempadan, khususnya selepas kes pembunuhan seorang detektif polis, Abu Hashim Ismail, 54, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kegiatan Geng Pak Su.

Abu Hashim yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, maut terkena beberapa das tembakan di rumah di Taman Seri Hosba di Changlun, dekat sini.