KOTA KINABALU: Gabungan persatuan penggiat seni di Sabah berharap kerajaan negeri mewujudkan Majlis Seni Sabah menerusi Belanjawan Negeri yang dijangka dibentangkan pada Oktober ini, bagi menyediakan badan induk yang menaungi industri kreatif negeri.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata majlis itu boleh menjadi platform untuk persatuan dan kelab penggiat seni menjalin kerjasama strategik dengan kerajaan negeri.
“BBC melihat industri kreatif perlu diperkasa membolehkan pemain dalam industri itu di Sabah mampu berdaya saing di lapangan arus perdana.
“BBC bersedia menjadi perantara berhubung hasrat beberapa persatuan dan kelab karyawan negeri ini yang mahukan kerajaan Sabah mewujudkan Majlis Seni Sabah,” katanya selepas menemui wakil penggiat seni di sini, semalam.
Masiung berkata, beliau akan membawa draf cadangan berkenaan ke persidangan DUN Sabah yang dijangka berlangsung antara Oktober dan November ini.
Menurut ADUN Kuamut itu, ketiadaan agensi induk menyukarkan kerajaan menyalurkan inisiatif atau dana kepada persatuan penggiat seni. Beliau juga berpandangan industri kreatif Sabah kurang mendapat perhatian sebelum ini, termasuk dalam pembentangan Belanjawan Negeri.
Katanya, kerjasama dengan kerajaan dapat membuka ruang kepada penggiat seni untuk membantu menyampaikan program penting kerajaan kepada masyarakat melalui karya mereka.
Pertemuan itu diketuai penghibur veteran Sabah, Datuk Francis Landong, dengan wakil Persatuan Kreatif Sabah, Persatuan Artis Sabah, Persatuan Karyawan Sabah, Kelab Orkestra Sabah, Persatuan Filem dan Visual Sabah serta Persatuan Komposer Penulis Lirik Sabah.






