Kerjasama Agensi Perkukuh Pembangunan Rohani Masyarakat Sabah – Juliah

Kerjasama Agensi Perkukuh Pembangunan Rohani Masyarakat Sabah – Juliah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan penting dalam memperkukuhkan pembangunan rohani masyarakat Islam di Sabah, khususnya melalui penganjuran program berteraskan penghayatan Al-Quran.

Isteri Ketua Menteri merangkap Yang di-Pertua Mutiara GRS, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag berkata, sinergi antara agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS), Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Baitulmal amat penting dalam memastikan usaha pembangunan ummah dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mutiara Ramadan yang membawa tema “Membina Jiwa, Menyucikan Hati Dengan Al-Quran” di sini hari ini.

Menurutnya, tema berkenaan bukan sekadar ungkapan indah, sebaliknya satu seruan kepada umat Islam agar menjadikan Al-Quran sebagai asas pembinaan insan dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini termasuk cabaran pemikiran, sosial dan nilai.

“Dalam keadaan dunia yang penuh cabaran, umat Islam amat memerlukan pedoman yang jelas dan kukuh, dan tiada pedoman yang lebih sempurna selain daripada Al-Quran,” katanya.

Juliah berkata, Ramadan juga merupakan bulan tarbiah yang mendidik umat Islam tentang kesabaran, keikhlasan dan ketakwaan, namun penghayatan itu hanya akan benar-benar bermakna apabila Al-Quran dijadikan sahabat dalam kehidupan seharian dengan membacanya, memahami serta mengamalkannya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Al-Quran merupakan penawar bagi hati yang gelisah serta cahaya yang memimpin manusia keluar daripada kegelapan, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 mengenai penurunan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.

Dalam pada itu, beliau berharap usaha murni yang digerakkan melalui kerjasama JHEAINS dan Mutiara GRS akan terus diperkasa pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut pembangunan fizikal, tetapi juga kukuh dari segi akhlak dan spiritual.

Beliau turut mengajak masyarakat menjadikan Ramadan sebagai titik perubahan untuk membina jiwa yang lebih tenang, menyucikan hati daripada sifat-sifat mazmumah serta menghidupkan keluarga dan komuniti dengan cahaya Al-Quran.