Armada BERSATU, 3 individu buat laporan polis berhubung artikel dakwaan campur tangan...

Armada BERSATU, 3 individu buat laporan polis berhubung artikel dakwaan campur tangan asing

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Armada BERSATU Wilayah Persekutuan bersama tiga individu lain tampil membuat laporan polis berhubung sebuah artikel yang didakwa mengandungi pendedahan mengenai campur tangan pihak asing dalam politik negara.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Dang Wangi pagi tadi oleh Muhammad Alif Abdullah; aktivis, M.Mythreyar dan Syarul Ema Rena Abu Samab atau dikenali sebagai Ratu Naga serta ahli perniagaan Datuk Albert Tei.

Menurut laporan tersebut, mereka merujuk kepada satu artikel yang diterbitkan oleh portal berita MalaysiaNow bertajuk “Pendedahan: Bagaimana PKR guna firma perunding asing supaya AS beri tekanan kepada Najib.”

Mereka mendakwa artikel berkenaan mengandungi maklumat berkaitan dakwaan penglibatan seorang ejen dari Amerika Syarikat, Jared Genser, yang dikatakan pernah berperanan memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia ketika pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam laporan berkenaan, mereka turut merujuk kepada dakwaan yang mengaitkan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Nurul Izzah Anwar, dengan komunikasi e-mel yang didakwa mempunyai kaitan dengan pihak di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, mereka menyatakan tidak dapat mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, mereka meminta pihak polis menyiasat perkara berkenaan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan sekiranya terdapat unsur yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak yang dinamakan dalam artikel berkenaan berhubung dakwaan tersebut.