KOTA KINABALU: Seramai lebih 400 pelajar Sabah yang sedang menuntut di Timur Tengah, termasuk Mesir, Jordan dan Arab Saudi, berada dalam keadaan baik, kata Exco Agama, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Menurut beliau, majoriti pelajar Sabah berada di Mesir, khususnya di Universiti Al-Azhar, Kaherah, menuntut dalam pelbagai bidang termasuk agama dan perubatan. Sebahagian kecil pelajar pula menuntut di Jordan dan Universiti Madinah di Arab Saudi.
“Kebanyakan mereka mendapat biasiswa MUIS, Yayasan Sabah, Kerajaan Negeri Sabah dan sumbangan daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah,” jelas Arifin ketika ditemui media hari ini dan diminta mengulas mengenai keadaan pelajar Sabah di Timur Tengah susulan berlaku serangan daripada Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua pelajar Sabah menuntut secara hadir langsung dan bukan secara dalam talian.
“Setakat ini, mereka berada dalam keadaan baik kerana saya sudah menghubungi pegawai Yayasan Sabah yang ditugaskan di Kaherah, dan sentiasa berhubung dengan beliau. Apa yang penting, mereka juga perlu berhubung dengan pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah, Amman dan Arab Saudi,” kata Arifin.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, pegawai berkenaan telah bertugas lebih 10 tahun di Mesir dan pernah menguruskan pelajar Sabah semasa krisis sebelum ini.
“Alhamdulillah, keadaan terkawal dan kami akan sentiasa mematuhi keputusan yang ditetapkan oleh Wisma Putra serta Kementerian Pendidikan Tinggi,” tambah beliau.
Arifin turut menekankan bahawa pihaknya akan mendapatkan maklumat terkini dari masa ke masa bagi memastikan kesejahteraan pelajar Sabah di Timur Tengah terus dipantau.






