Nizam Mahu Tinju Sabah Terus Berkembang, Sokongan Kepada PTNS Akan Diperkukuh

Nizam Mahu Tinju Sabah Terus Berkembang, Sokongan Kepada PTNS Akan Diperkukuh

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sukan tinju di Sabah termasuk meneliti keperluan Persatuan Tinju Negeri Sabah (PTNS) serta mempertimbangkan peningkatan sokongan dan geran tahunan bagi memperluaskan aktiviti pembangunan sukan itu di seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sukan tinju mempunyai potensi besar untuk menyumbang pingat kepada Sabah, khususnya menjelang temasya SUKMA 2026.

Menurut beliau, pembangunan atlet, penganjuran kejohanan, latihan berterusan dan sokongan kepada persatuan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan sukan tersebut terus berkembang dan melahirkan lebih ramai atlet berkualiti.

Atas kegigihan dan komitmen Persatuan Tinju Negeri Sabah, pihak kementerian akan terus meneliti keperluan persatuan, termasuk mempertimbangkan peningkatan sokongan dan geran tahunan bagi membolehkan PTNS memperluas aktiviti pembangunan tinju di seluruh negeri.

“Kita mahu sukan tinju Sabah bukan sahaja aktif di Kota Kinabalu, tetapi hidup dan berkembang di setiap daerah yang mempunyai bakat, minat dan potensi,” katanya ketika merasmikan penutupan Kejohanan Tinju Seluruh Sabah Ke-72 Piala Mayor, di sini.

Nizam berkata, kejohanan berkenaan merupakan platform penting untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk bagi persediaan menghadapi Piala Malaysia dan SUKMA 2026.

Beliau turut memuji semangat juang yang ditunjukkan para petinju sepanjang empat hari kejohanan berlangsung.

“Dalam sukan tinju, kekuatan fizikal sahaja tidak mencukupi. Yang lebih penting ialah keberanian hati, ketenangan fikiran, disiplin diri dan kemampuan untuk bangkit setiap kali diuji. Nilai-nilai inilah yang membentuk karakter anak muda,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden PTNS, Datuk Orlando Harumal atas sumbangan dan kepimpinan beliau dalam membangunkan sukan tinju di Sabah sejak lebih lima dekad lalu.

Nizam turut menghargai kerjasama yang diberikan oleh Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Shamsor Jaafar, khususnya dalam aspek bantuan perubatan, pengadilan, penghakiman dan sokongan logistik yang membantu memastikan kejohanan berjalan lancar dan selamat.

Menurutnya, kerjasama erat antara persatuan sukan, agensi kerajaan dan pasukan keselamatan perlu diteruskan kerana ia terbukti memberi impak besar terhadap pembangunan sukan negeri.

Kejohanan Tinju Seluruh Sabah Ke-72 Piala Mayor kali ini melibatkan penyertaan 24 pasukan daripada persatuan tinju daerah, kelab dan gimnasium dengan keseluruhan 153 atlet, pengurus pasukan serta jurulatih mengambil bahagian.

Selain itu, seramai 24 pegawai, pengadil, hakim dan pembantu teknikal turut terlibat dalam memastikan kelancaran kejohanan tersebut.

“Jumlah penyertaan ini membuktikan bahawa sukan tinju di Sabah masih mempunyai akar yang kuat dan banyak bakat di peringkat daerah yang perlu terus dicungkil, dibimbing serta diberikan peluang untuk berkembang.

“Bakat besar tidak semestinya lahir dari tempat yang besar. Kadang-kadang juara masa depan lahir dari daerah kecil, daripada gim sederhana, tetapi mempunyai semangat yang luar biasa,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Tinju Malaysia, Datuk Mohammad Iruan Zulkefli atas sokongan berterusan terhadap pembangunan tinju Sabah termasuk penganjuran kursus kejurulatihan dan sumbangan sebuah gelanggang baharu kepada PTNS.

Mengakhiri ucapannya, Nizam menyeru semua pihak termasuk jurulatih, pengadil, hakim dan persatuan daerah agar terus memainkan peranan dalam membangunkan bakat-bakat muda serta mengangkat nama Sabah melalui sukan.

“Sukan membina disiplin, membentuk karakter dan membuka ruang kepada anak muda untuk mengejar impian serta mengharumkan nama negeri di pentas yang lebih tinggi,” katanya.