TAWAU: Tiga lelaki warga asing ditahan selepas polis menemukan kira-kira 1,000 mililiter (ml) cecair disyaki air ketum dalam serbuan di kawasan rumah pekerja sebuah kilang batu bata di Jalan Stesen TV, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 23 hingga 31 tahun ditahan kira-kira jam 11 malam susulan maklumat awam.
Katanya, operasi dijalankan sepasukan anggota Pondok Polis Kawasan (PPK) Kinabutan dan Titingan bersama Strike Team Balai Polis Tawau.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebuah botol plastik hijau mengandungi kira-kira 1,000ml cecair berwarna keperangan disyaki air ketum di atas meja berhampiran suspek,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.
Menurutnya, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Rosdi turut menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan menyalahi undang-undang dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha penguatkuasaan.






