PENAMPANG, SABAH – Seramai 6.9 peratus dari 215 orang telah menjalani ujian saringan HPV yang telah dilaksanakan di kawasan Penampang, Inanam, Keningau, Tenom dan Tulid didapati positif penyakit kelamin itu.
Program saringan HPV PCR percuma berkenaan anjuran Yayasan ROSE dengan kerjasama Wanita DAP Sabah telah berlangsung selama 3 hari sehingga 12 Mei lalu.
HPV ialah singkatan untuk Human Papillomavarius, sejenis virus DNA yang biasanya dijangkiti melalui hubungan intim serta sentuhan antara kulit di bahagian sulit.
Jangkitan subjenis HPV berisiko rendah boleh menyebabkan ketuat manakala yang lain diketahui menyebabkan pelbagai jenis kanser termasuk kanser serviks, dubur, zakar dan tekak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata melalui program tersebut, masih ramai wanita yang takut membuat saringan.
“Bagi saya, ini adalah satu peluang untuk mengetahui tahap kesihatan diri kita agar boleh dirawat dengan awal sekiranya dikesan positif.
“Keputusan saringan mengambarkan bahawa HPV ini memang ada dan perlu dicegah dengan awal.
“Saya ingin menekankan kepada wanita di luar sana bahawa saringan HPV PCR ini adalah selamat, tidak sakit dan mudah dibuat kerana kita sendiri yang akan membuat pengambilan sample tersebut dan keputusan akan keluar seawal tiga minggu selepas membuat saringan,” katanya.
Jannie berkata program akan datang memfokuskan kepada vaksinasi HPV dimana Pejabanya akan bekerjasama dengan National Cancer Society Malaysia yang memfokuskan kepada golongan perempuan berumur sembilan hingga 45 tahun di daerah Penampang.
“Sasaran kami seramai 500 orang. Oleh itu, saya galakkan kepada kolej atau sekolah swasta yang menepati syarat boleh hubungi pihak kami mengenai program ini untuk mendapat maklumat lanjut,” ujarnya.