Anggota Polis Lahad Datu Maut Dihempap Pokok Ketika Memandu

Anggota Polis Lahad Datu Maut Dihempap Pokok Ketika Memandu

0
SHARE
Polis
Kenderaan dipandu mangsa yang dihempap pokok ( Sumber Foto: Ihsan IPD Lahad Datu )

LAHAD DATU, SABAH – Seorang anggota cawangan pengangkutan Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu maut ditimpa pokok ketika memandu di Jalan Gelugor, Felda Sahabat 16, pada Jumaat.

Koperal Zeno Gungoh, 44, dari Batalion 17 disahkan meninggal dunia di lokasi ekoran kejadian kira-kira 2.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata mangsa telah bertugas ketika peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan juga seorang bekas Unit Tindakhas (UTK).

“Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Komtek Sahabat 16 PGA menuju ke arah pantai Sahabat 16.

“Sebatang pokok yang berada di bahu kanan kalan raya tiba-tiba tumbang dan menghempap kenderaan van dipandu mangsa.

“Kejadian itu disaksikan oleh seorang anggota polis berpangkat Koperal yang menunggang motosikal Scrambler Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Kawasaki yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Siasatan dalam kes ini dilakukan dengan kadar segera supaya urusan keluarga mangsa dapat dipermudahkan,” katanya.