174 Individu Dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah

174 Individu Dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (kanan)memakaikan selepang PGDK kepada Abdul Aziz ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 174 individu hari ini dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam istiadat yang berlangsung di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu semalam, dua individu dikurniakan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk” iaitu Setiausaha Politik Kepada Ketua UMNO Sabah, Datuk Ir. Abdul Aziz bin Julkarnain dan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Dr Lim Hock Heng.

Manakala, 16 individu lain menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) antaranya, mantan Juruhebah RTM, Datin Cusna Yusof @Yusoff dan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kontinjen Sabah, ACP Khalid Saison.

Istiadat pengurniaan diteruskan dengan 29 penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK) antaranya, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Ir. Ts Jamilah Tukang.

Sementara itu, Tun Juhar turut mengurniakan Anugerah Bintang Setia Kinabalu (BSK) kepada 43 penerima antaranya, Mejar Wazirudin Mahfot, Penguasa Penjara Shamlin Mohd, Dr Ronald Yusri Batahong, Dr Israh Aripin serta Khadijah Aswatie Adenan.

Selain itu, istiadat yang diserikan dengan kehadiran isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni itu turut menyaksikan Pembantu Penerangan Kanan, Jabatan Penerangan Sabah iaitu Abdul Mutalib Abdullah antara 63 individu yang dikurniakan Bintang Kinabalu (BK), diikuti dengan penganugerahan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) kepada 21 penerima termasuk Pembantu Rendah Awam Khas di Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Jainanl Naim. — JABATAN PENERANGAN SABAH