SPRM Laksana Program Pendidikan Setiap Bulan

SPRM Laksana Program Pendidikan Setiap Bulan

0
SHARE
Sprm
S Karunanithy (tengah) menyampaikan cenderakenangan kepada moderator program ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebagai usaha meningkatkan integriti, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan program pendidikan sekurang-kurangnya sehari dalam sebulan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy berkata pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menganjurkan program pencegahan rasuah pada minggu pertama setiap bulan.

“Berkaitan kesalahan rasuah dalam kalangan penjawat awam, saya melihat salah satu kesalahan yang berlaku adalah berkaitan tuntutan palsu.

“Suatu ketika dahulu, ada yang membeli resit-resit hotel, tapi sekarang dengan teknologi baharu, mereka mengubah resit dalam format portable document format (pdf) tersebut dan kemukakan tuntutan palsu.

“Bagi tahun 2024, setakat ini SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan di Sabah dan kini berada di fasa akhir,” katanya ketika ditemui di Bual Bicara Kluster Tatakelola dan Antirasuah: “Sinergi Dalam Membendung Ketirisan Hasil Untuk Pembangunan Negara”, pada Khamis.

Selain itu, bagi mengatasi ketirisan, beliau juga menyarankan ketua-ketua jabatan agar turut memberi perhatian kepada kepada aktiviti setiap pegawai bawahan, bukan setakat melibatkan macro policy.

“Ketirisan harus dilihat dari dua sudut, dan salah satu adalah isu besar melibatkan seperti subsidi kerajaan atau melakukan kerja-kerja tidak mengikut spesifikasi.

“Tetapi ada satu lagi ketirisan bentuk kecil yang sentiasa berlaku di dalam jabatan, contohnya pembelian barang dengan harga yang mahal.

“Walaupun kecil, tapi kalau kita longgokan dalam semua agensi akan menjadi besar, contoh satu agensi berlaku ketirisan sebanyak RM1,000 dan kalau 200 jabatan akan berjumlah RM200,000.

“Peranan mengatasi ketirisan adalah tanggungjawab semua pihak, kadang-kadang bila kita bagitahu ketirisan, mereka melihat pihak penguasa, ketua jabatan dan sebagainya, tetapi kalau kerani perolehan pun tidak melakukan sesuatu dengan betul, berlakulah ketirisan,” ujarnya.

Seramai 250 orang penjawat awam persekutuan dan negeri menyertai program anjuran SPRM Sabah dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah tersebut dengan sesi perkongsian maklumat oleh Timbalan Pengarah Operasi SPRM Sabah, KPKPj Syamsul Osman, dan Pengarah Operasi Negeri Seksyen Siasatan Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri Sabah, Mohd Fahmi Saad. — JABATAN PENERANGAN SABAH