KOTA KINABALU: Seramai 15 peserta daripada Program Sabah Gender Focal Points (SGFP) Kohort 3 telah ditauliahkan sebagai Train The Trainers (TTT) dalam Majlis Aspirasi Kepimpinan Gender yang diadakan di sini pada Jumaat.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, mereka akan berperanan sebagai rujukan serta agen perubahan dalam kalangan kementerian, jabatan dan agensi masing masing, bagi membantu mengintegrasikan perspektif gender dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program.
Beliau berkata melalui peranan tersebut, mereka akan membantu memperkukuh keupayaan agensi kerajaan dalam merangka dan melaksanakan dasar serta program yang lebih inklusif, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
Menurutnya, pentauliahan tersebut merupakan langkah penting ke arah memperkukuh kapasiti institusi serta memupuk pendekatan tadbir urus yang lebih inklusif dan responsif.
“Kesaksamaan gender bukan hanya berkaitan wanita semata mata. Ia adalah tentang memastikan dasar dan perkhidmatan yang kita laksanakan memberi manfaat secara adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat.
“Saya berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh melalui latihan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh organisasi masing-masing serta menyumbang kepada agenda pembangunan Sabah yang lebih inklusif dan mampan,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.
Program Sabah Gender Focal Points yang kini memasuki Kohort 3 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kapasiti penjawat awam bagi menyokong agenda pengarusperdanaan gender di seluruh Sabah.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail serta Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Maria Chong.






