TUARAN: Tiga individu cedera parah manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah Perodua Axia yang bertembung di Jalan Sulaman, awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.19 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi.
Ketua BBP Tuaran, Kurong AK Beki berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.27 pagi, kira-kira enam kilometer dari balai.
Beliau berkata, kemalangan melibatkan dua buah Perodua Axia dengan lima mangsa keseluruhannya.
“Perodua Axia pertama dinaiki tiga mangsa iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun dan dua wanita.
“Seorang daripada wanita itu mengalami patah tangan, manakala seorang lagi turut cedera.
“Perodua Axia kedua pula dinaiki dua lelaki berusia 20 dan 33 tahun yang masing-masing dilaporkan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, anggota bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kenderaan sebelum mereka diserahkan kepada pasukan perubatan.
Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan Jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta lima petugas KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.40 pagi.






