943 Anggota Kontinjen Sabah Galas Misi Buru 40 Emas di SUKMA Selangor...

943 Anggota Kontinjen Sabah Galas Misi Buru 40 Emas di SUKMA Selangor – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 943 anggota Kontinjen Sabah, termasuk 744 atlet, akan menggalas misi memburu 40 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor, sekali gus memecahkan rekod pencapaian terbaik negeri sebanyak 33 emas yang dicatatkan pada edisi Perak 2018.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan persiapan rapi yang telah dimulakan sejurus selepas Sukan Sabah (SAGA) tahun lalu menerusi program pembangunan atlet yang lebih tersusun.

Beliau berkata, atlet berpotensi dikenal pasti lebih awal sebelum menjalani latihan intensif serta dihantar menyertai pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara sebagai persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu.

“Kita telah mempersiapkan pasukan Sabah sejurus selepas SAGA pada Oktober tahun lalu. Atlet-atlet berpotensi dikenal pasti, dilatih dan dihantar bertanding di dalam serta luar negara. Setelah membuat perbandingan dengan pencapaian lalu dan prestasi negeri-negeri lain, kami percaya sasaran 40 pingat emas ini mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir persiapan Kontinjen Sabah bagi menghadapi SUKMA Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di sini, pada Selasa.

Nizam berkata, Sabah akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada SUKMA, dengan hanya tidak mengambil bahagian dalam acara Kabaddi kerana negeri ini belum mempunyai program pembangunan bagi sukan berkenaan.

Menurutnya, kontinjen SUKMA Sabah terdiri daripada 744 atlet, iaitu 385 lelaki dan 359 wanita, selain 51 pengurus pasukan serta 148 jurulatih, menjadikan keseluruhan kontinjen seramai 943 orang, tidak termasuk pegawai kementerian.

Katanya, bagi Para SUKMA pula, Sabah akan mengambil bahagian dalam kesemua 10 acara yang dipertandingkan dengan kontinjen seramai 271 orang, merangkumi 154 atlet dan 117 pegawai, termasuk pengurus, jurulatih dan urus setia.

Beliau berkata, Sabah turut mensasarkan 66 pingat emas pada Para SUKMA dalam usaha merampas semula gelaran juara keseluruhan selepas muncul naib juara pada edisi Sarawak 2024.

Dalam pada itu, Nizam berkata Kerajaan Sabah melalui KBSK menyediakan insentif kepada semua pemenang pingat sebagai galakan kepada atlet untuk memberikan prestasi terbaik.

“Pemenang pingat emas akan menerima insentif RM10,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000. Kita tidak mahu sasaran RM3,000 atau RM2,000, sebaliknya kita mahu semua atlet memburu RM10,000 dengan membawa pulang pingat emas,” katanya.

SUKMA Ke-22 dijadual berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA akan diadakan pada 5 hingga 11 September.