TUARAN: Seorang pelancong lelaki warga China dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti meluncur ombak di Pantai Dalit, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.17 tengah hari berhubung kejadian itu.
Menurut sumber agensi, saksi memaklumkan seorang pelancong yang sedang meluncur ombak terlihat objek menyerupai mangsa lemas yang meminta pertolongan sebelum hilang daripada pandangan.
“Keadaan ombak yang kuat menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Operasi SAR dijalankan oleh anggota bomba bersama agensi penyelamat lain menggunakan kaedah permukaan air di persisiran pantai serta bot penyelamat.
Menurut sumber sama, pencarian meliputi radius sejauh tiga kilometer menggunakan bot penyelamat, manakala pencarian di permukaan air dijalankan sejauh kira-kira 400 meter.
“Tiada sebarang petunjuk atau penemuan mangsa diperoleh sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Operasi ditangguhkan pada jam 6.26 petang Selasa dan akan disambung semula sekiranya mendapat arahan daripada pihak polis. Maklumat mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.






