GRS–PH Terus Kukuh, Hajiji Yakin Rakyat Pilih Semula Kerajaan Sedia Ada

GRS–PH Terus Kukuh, Hajiji Yakin Rakyat Pilih Semula Kerajaan Sedia Ada

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) akan terus dipertahankan sebagai satu pakatan tulen, menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Dalam peristiwa Langkah Kinabalu pada Januari 2023, GRS mendapat sokongan padu daripada PH Sabah yang membolehkan kerajaan negeri terus berdiri kukuh hingga ke hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.

Menurut beliau yang juga Pengerusi GRS dan Presiden Gagasan Rakyat, kerjasama itu telah membawa kestabilan serta kemajuan yang akan terus dikekalkan kerana terbukti membawa manfaat besar kepada negeri dan rakyat.

Hajiji juga menyeru rakyat Sabah agar terus memberi mandat kepada GRS berdasarkan pencapaian lima tahun pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita bina kerajaan ini seperti seorang arkitek membina mahligai, berasaskan kehendak rakyat dan semangat tempatan. 

“Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita tunaikan janji yang termampu demi rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan PRN17 bukan sekadar pilihan raya biasa tetapi medan penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di Sabah.

“Jika kita gagal membentuk kerajaan, kita sia-siakan peluang keemasan untuk meletakkan kuasa politik tempatan di tempat sepatutnya. Sebaliknya, jika menang, kita akan ada suara lebih kuat untuk menuntut hak Sabah,” ujarnya.

Hajiji turut mengiktiraf peranan penting semua parti komponen GRS seperti PBS, STAR, SAPP, USNO, PHRS, LDP dan PCS dalam memperkukuh gabungan tempatan terbesar di negeri ini.

“PBS dan STAR bukan sekadar penyumbang kekuatan, tetapi rakan seperjuangan yang sentiasa memberi sokongan dan nasihat. Begitu juga parti komponen lain, masing-masing memainkan peranan dalam memastikan GRS terus utuh,” katanya.

Akhir sekali, beliau menggesa seluruh jentera parti termasuk Wanita, Pemuda, Beliawanis dan akar umbi agar bersiap siaga mendekati rakyat menjelang PRN17.

“Turunlah ke gelanggang dengan semangat membara. InsyaAllah, kita akan menang dan kembali mendapat mandat rakyat yang lebih besar, segar dan bermakna,” katanya.