Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Naib Ketua Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Noorazmahirah Noorzain mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak terperangkap dalam konflik dalaman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sebaliknya memfokuskan usaha memperkukuh kekuatan parti di medan sebenar.
Beliau menegaskan, dalam saat-saat genting ini, perpaduan antara ahli dan pimpinan harus menjadi keutamaan kerana kekuatan sesebuah parti bukan hanya bergantung kepada strategi kempen tetapi juga terletak pada kesatuan dan solidariti dalaman.
“Jangan buang masa menyerang sesama sendiri sedangkan musuh sebenar sedang giat menyusun langkah untuk menewaskan kita. Kalau kita berpecah, rakyat akan hilang keyakinan. Tapi jika kita bersatu, insya-Allah kemenangan itu lebih dekat dari yang disangka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Agung Tahunan Beliawanis 2025.
Menurut Noorazmahirah, PRN ke-17 bukan sekadar ujian politik rutin, tetapi medan sebenar untuk membuktikan bahawa Beliawanis mampu menjadi pemain utama dalam mencorak masa depan Sabah, bukan hanya sebagai pelapis tetapi pemacu perubahan.
Beliau menekankan bahawa Beliawanis bukan hadir untuk mengisi ruang kosong dalam parti, sebaliknya adalah nadi utama perjuangan dan tenaga penggerak yang membawa suara rakyat ke tengah gelanggang politik negeri.
“Kita bukan sekadar penyeri majlis atau pengikut arus. Kita adalah pencetus gelombang dan pembawa obor perjuangan,” katanya sambil menyeru agar seluruh jentera wanita muda parti terus tampil berani, bersatu dan bersedia menyambut cabaran PRN akan datang.






