KOTA KINABALU: KREATIF SABAH mahu bakat dan karya seni tempatan dibangunkan sebagai produk ekonomi yang mampu menjana pendapatan, peluang pekerjaan dan pasaran, bukan sekadar menghasilkan aktiviti atau karya pertandingan.
Pengerusi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH), Chester Pang berkata, pendekatan itu diterjemahkan menerusi Pertandingan Mencipta Lagu OST KREATIF SABAH 2026 yang memberi tumpuan kepada keseluruhan rantaian industri, daripada penciptaan lagu, komposer dan penulis lirik sehingga penghasilan, persembahan serta pasaran.
“Kita bukan hanya mahu memberi tumpuan kepada penyanyi, tetapi melihat keseluruhan rantaian bermula daripada asasnya iaitu penciptaan lagu, komposer dan penulis lirik, sehinggalah kepada penghasilan, persembahan dan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Pertandingan itu menerima 34 penyertaan komposer tempatan selepas dibuka selama empat minggu sejak 1 September lalu, dengan 24 karya mara ke separuh akhir sebelum 10 karya dipilih untuk bersaing di pentas akhir pada Disember ini bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM16,000.
Chester yang juga Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) berkata, pihaknya merancang menjemput penerbit dan pengarah filem ke pertandingan akhir bagi membuka peluang karya finalis diketengahkan kepada industri.
“Kita mahu mewujudkan satu ruang di mana lagu-lagu yang dihasilkan bukan sekadar berakhir sebagai karya pertandingan, tetapi berpotensi menjadi lagu tema atau OST untuk filem dan drama televisyen yang sedang dirancang atau akan diterbitkan pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, karya yang tidak mara ke pentas akhir juga masih boleh diperbaiki, disusun semula dan dikembangkan untuk tujuan komersial, termasuk didaftarkan dengan badan pengurusan hak cipta seperti MACP atau MRS bagi membolehkan pencipta menikmati kutipan royalti, selain berpotensi diketengahkan kepada pihak penyiaran seperti RTM.
Beliau berkata, sektor Ekonomi Jingga (Orange Economy) tidak semestinya memerlukan modal besar untuk membuka peluang pekerjaan, sebaliknya mampu memberikan pulangan ekonomi signifikan kepada Sabah sekiranya bakat dan produk kreatif tempatan dibangunkan secara lebih tersusun.
“Apa yang diperlukan ialah bagaimana bakat dan produk sedia ada ini dipekejkan, diperkemas dan dipasarkan supaya mempunyai nilai komersial yang lebih tinggi,” katanya.
Chester berkata, KREATIF SABAH mengharapkan sokongan berterusan pelbagai pihak khususnya Kerajaan Negeri dalam membangunkan ekosistem ekonomi kreatif yang lebih tersusun dan berdaya saing.
“Kita mahu melihat penggiat seni bukan hanya menghasilkan karya, tetapi mampu menjadikan karya tersebut sebagai sumber pendapatan dan kerjaya. Di situlah nilai sebenar ekonomi kreatif kepada Sabah,” katanya.






