KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mewajibkan tahap keberhasilan Outcome-Based Integrity (OBI) sebagai sebahagian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan semua ketua jabatan dan kepimpinan syarikat kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha menginstitusikan OBI dalam penilaian prestasi agensi, dengan prestasi pentadbiran akan diukur secara ketat mengikut tahap pengurangan risiko ketirisan dan kecekapan perkhidmatan.
“Kerajaan Negeri mewajibkan pengukuran tahap keberhasilan OBI dijadikan sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan bagi semua ketua jabatan dan kepimpinan syarikat kerajaan negeri.
“Prestasi pentadbiran akan diukur secara ketat mengikut tahap pengurangan risiko ketirisan dan kecekapan perkhidmatan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2026 bertemakan ‘Integriti Memacu Tatakelola Sabah Maju Jaya’, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri memperkenalkan dan menyokong paradigma baharu menerusi aspirasi OBI atau integriti berasaskan keberhasilan, yang memberi penekanan kepada impak sebenar sesuatu inisiatif kepada rakyat.
Menurutnya, kejayaan dalam aspek tadbir urus, integriti dan antirasuah tidak lagi seharusnya hanya diukur berdasarkan output seperti jumlah kursus yang dilaksanakan, bilangan peserta yang hadir atau jumlah buku dasar yang dicetak.
Sebaliknya, beliau berkata, menerusi OBI setiap instrumen tadbir urus, integriti dan antirasuah perlu membawa keberhasilan melalui tiga teras utama, termasuk pengurangan ketara risiko ketirisan menerusi pendekatan proaktif, prediktif dan preventif bagi mencegah risiko sebelum berlaku.
Teras kedua memberi tumpuan kepada kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan awam dengan membasmi kerenah birokrasi yang membebankan, manakala teras ketiga melibatkan peningkatan tahap kepercayaan rakyat serta pelabur.
“Setiap ringgit dana awam yang dibelanjakan mesti memberikan value for money yang maksimum terus kepada kesejahteraan rakyat tanpa susut nilai di tengah jalan,” katanya.
Hajiji berkata, sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri turut komited memperkasa digitalisasi, analisis data dan pendekatan berasaskan wawasan dengan beralih daripada pemantauan berjadual secara konvensional kepada pemantauan masa nyata atau real-time menerusi integrasi digital penuh.
Pada masa sama, kerajaan akan terus memperluas pemerkasaan Pegawai Integriti Bertauliah dan memperkukuh fungsi Unit Integriti yang diselaraskan dengan program pembangunan bakat penjawat awam serta program antarabangsa bagi melahirkan kepimpinan masa hadapan yang berprinsip tinggi dan menguasai tadbir urus moden.
Beliau berkata, integriti tinggi dalam kalangan penjawat awam merupakan kunci utama dalam menentukan kejayaan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Katanya, dalam fasa baharu itu, penyampaian perkhidmatan tidak lagi sekadar dinilai menerusi kelulusan atas kertas, sebaliknya berdasarkan impak nyata terhadap kesejahteraan rakyat.
“Dalam kerangka Hala Tuju SMJ 2.0, tadbir urus berintegriti telah digariskan sebagai salah satu daripada lima pemboleh daya strategik bagi memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan pengurusan hasil negeri yang cekap,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata, penganjuran dan usaha pemantapan integriti sebelum ini telah menghasilkan beberapa pencapaian termasuk penempatan 10 Pegawai Integriti Bertauliah atau Certified Integrity Officer sebagai Unit Integriti di setiap kementerian bagi memperkukuh kawalan dalaman serta elemen semak dan imbang.
Selain itu, sistem aduan awam diperkasa melalui pembangunan aplikasi mudah alih AADU, selain pembangunan sistem I-Team sebagai platform pemantauan pelaksanaan mesyuarat tatatertib di kementerian dan jabatan serta sistem I-Stan SDAMS yang mengintegrasikan proses kerja pengurusan mesyuarat jawatankuasa tadbir urus negeri daripada manual kepada digital.
Seramai 17 pegawai agensi Kerajaan Negeri Sabah juga lulus dan akan ditauliahkan Certification in Professional Integrity Assurance and Management (CPIIM) oleh Universiti Sains Malaysia, dengan mereka dijadualkan bergraduasi pada 21 Oktober ini.
Hajiji turut menyeru semua penjawat awam supaya terus memperkukuh kerjasama berpasukan dan mempertahankan etika kerja yang tinggi serta memastikan ilham dan strategi baharu khususnya menerusi aspirasi OBI dibawa pulang dan dibincangkan secara nyata di kementerian, jabatan serta syarikat kerajaan.






