SHAFIE SIMPATI TINDAKAN PETER ANTHONY KELUAR PARTI WARISAN

SHAFIE SIMPATI TINDAKAN PETER ANTHONY KELUAR PARTI WARISAN

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal hanya mampu bersimpati ke atas tindakan bekas Naib Presiden, Datuk Peter Anthony keluar dari parti.

Shafie berkata, itu (keluar dari parti Warisan) merupakan hasrat Peter setelah sudah beberapa kali menyatakanya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

Beliau turut menafikan dakwaan Peter bahawa Parti Warisan sudah “tersasar daripada tumpuan” apabila melebarkan sayap ke Semenanjung.

“Seluruh Ahli Majlis Tertinggi dan ahli parti menyokong penuh langkah itu pada perhimpunan Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan pada Disember tahun lalu…

“Keputusan untuk melebarkan Parti Warisan ke Semenanjung adalah satu langkah untuk menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia.

“Jelas pada pilihan raya Melaka dan Sarawak jumlah rakyat yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus (60%) dan menunjukkan ramai pengundi mahukan pilihan parti yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, selain daripada tindakan langkah keluar beliau, Peter turut mengumumkan penubuhan satu parti Kadazan Dusun Murut (KDM) baharu yang mesra pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Peter Anthony mengumumkan keluar parti WARISAN Sabah dalam SATU sidang media kelmarin (28 Dis) di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)…

Beliau percaya sesebuah negeri patut ditadbir oleh parti politik setempat menurut negeri masing-masing.

“Bagaimanapun ini bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada parti nasional,” kata Shafie.

“GRS diketuai oleh seorang ahli parti nasional PBBM (Bersatu) maka keputusan Kerajaan GRS ditentukan oleh ketua partinya di peringkat nasional…

“Keputusan Peter untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan GRS hanya akan memecah-belahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman,” katanya lagi.

Berkenaan langkah sama yang diambil ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, Shafie berkata ia mendukacitakan.

“Ini kerana beliau terpengaruh dengan Peter yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa,” ujarnya.

Shafie berkata partinya akan terus berjuang untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak-hak Sabah dan Sarawak yang belum lagi dikembalikan seperti pengagihan kekayaan yang saksama, kadar royalti minyak yang lebih baik dan hak wilayah Sabah ke atas pelantar benua.