SEMPORNA, SABAH – Aktiviti selam skuba khususnya di daerah Semporna menerima perhatian Kerajaan negeri Sabah dalam usahanya untuk memulihkan aktiviti pelancongan dalam negeri.
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah (KePKAS) melalui agensinya Lembaga Pelancongan Sabah dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Semporna menganjurkan program kursus Emergency First Respond (EFR) dan Rescue Refresher yang diadakan pada Isnin lalu.
Kursus tersebut yang disertai oleh seramai 30 peserta dilihat sebagai salah satu inisiatif pembangunan modal insan yang dapat ditingkatkan selaras dengan teras Program Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Aktiviti menyelam merupakan salah satu aktiviti pelancongan utama di negeri Sabah terutamanya di daerah Semporna.
Dengan keindahan alam semulajadi terutama pemandangan dasar laut, Jurupandu Selam ataupun Divemaster memainkan peranan penting didalam mengendalikan aktiviti menyelam bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
Perkhidmatan Jurupandu Selam diperlukan bagi memastikan keseronokan dan keselamatan pelancong berada pada tahap yang optimum.
Walau bagaimanapun, setelah pandemik COVID-19 melanda, aktiviti itu telah diherhentikan dalam tempoh waktu yang agak panjang.
Objektif program tersebut adalah untuk melatih Jurupandu Selam dan dipersijilkan oleh Professional Association of Diving Instructors dalam mempertingkatkan keselamatan dan di samping meningkatkan keyakinan serta imej Sabah sebagai destinasi selam skuba terbaik.
Menurut Presiden Persatuan Pelancongan Semporna, Jamilah Ang, program berkenaan sangat membantu dalam usaha untuk menaikkan semula industri pelancongan di daerah Semporna.
“Saya berharap keyakinan serta kemahiran peserta jurupandu selam yang telah lama meninggalkan kerjaya ini dapat dinaikkan semula,” katanya.
Jurupandu Selam dalam Latihan di Lato Lato Mun Resort, Suhaimi Armstrong yang juga seorang peserta pula berterima kasih kepada KePKAS di atas anjuran kursus itu.

“Ia banyak membantu meningkatkan semula kemahiran menyelamat. Saya berharap agar kursus-kursus sebegini akan diadakan lagi bagi komuniti Pemandu Snorkeling di seluruh negeri Sabah, khususnya di daerah Semporna,” katanya.





