Yayasan Sabah Bersama Rakyat 2025 Perkukuh Agenda Pendidikan, Kebajikan, Komuniti & Alam...

Yayasan Sabah Bersama Rakyat 2025 Perkukuh Agenda Pendidikan, Kebajikan, Komuniti & Alam Sekitar

0
SHARE

TAWAU, 29 September – Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 peringkat Zon Pantai Timur Selatan terus memperkukuh agenda pendidikan, kebajikan, pembangunan komuniti serta pemeliharaan alam sekitar negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata YSBR bukan sekadar karnival atau pameran, sebaliknya satu pergerakan menyantuni rakyat secara berstruktur.

“YSBR digerakkan melalui pendekatan Menyantuni, Membimbing dan Memperkasa. Ia bukan hanya mendekati rakyat, malah memahami isu sebenar, memberi penerangan praktikal dan membuka akses kemudahan, pembiayaan serta pasaran.

“Inilah cara rakyat dibimbing untuk berdikari,” katanya pada majlis perasmian di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Muhammad Andi Muhammad Suryady Bandy.

Beliau berkata, pendidikan kekal menjadi kunci transformasi negeri dengan pelbagai inisiatif Yayasan Sabah seperti tajaan biasiswa, dermasiswa, pinjaman pendidikan selain pengukuhan UCSF dan KTYS sebagai landasan melahirkan graduan berkemahiran.

Katanya, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) memastikan anak-anak B40 tidak tercicir, manakala program di lokasi Jerayawara memudahkan ibu bapa mendapatkan maklumat dan bimbingan secara langsung.

Selain pendidikan, katanya, Yayasan Sabah melaksanakan pelbagai program di zon berkenaan termasuk Program Intelek & Minda, Program STEM, Program Sosiobudaya, Program Sosioekonomi, Skim Bantuan Khas (SBK), Bantuan Menengah Yayasan Sabah (BMYS) dan Program Komuniti Kraf.

Hajiji berkata, Projek Konservasi Hutan Hujan Kuamut seluas 83,381 hektar juga menjadi pencapaian penting Sabah dalam menangani perubahan iklim dan menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi pensijilan Verra Verified Carbon Standard (VC) serta penarafan emas.

“Usaha ini bukan sekadar melindungi alam sekitar, tetapi memperkukuh identiti Sabah sebagai negeri yang menghargai khazanah semulajadi untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, sektor komersial Yayasan Sabah turut memainkan peranan besar menerusi Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) yang mengisytiharkan dividen RM150 juta pada 2024, tertinggi empat tahun berturut-turut dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Selain itu, katanya, Sabah Softwoods Berhad dan Benta Wawasan Sdn. Bhd. juga berperanan menjana hasil serta menyalurkan dividen penting kepada Yayasan Sabah bagi menyokong pendidikan, pembangunan komuniti dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Sementara itu, Dr Mohd Arifin ketika ditemui berkata, kejayaan YSBR di Tawau membuktikan rakyat semakin jelas tentang peranan Yayasan Sabah khususnya dalam pendidikan, kebajikan dan pemeliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, pelbagai bantuan pendidikan turut disampaikan termasuk dermasiswa, TPNS serta inisiatif seperti Bistari, BAGUS, BISBAH dan SUKSES yang memberi manfaat kepada lebih 1,500 sekolah di seluruh Sabah.

“Setakat ini ada 15 inisiatif dengan kos lebih RM70 juta di bawah Pejabat Tugas-Tugas Khas. Semua ini adalah ilham Ketua Menteri bagi memastikan rakyat, termasuk anak-anak Tawau, mendapat manfaat secara langsung,” katanya.

Katanya, peranan GLC di bawah Yayasan Sabah seperti Benta Wawasan dan Sabah Softwoods juga amat signifikan kerana turut menyumbang kepada tabung pendidikan negeri.

“Alhamdulillah, syarikat-syarikat ini bukan sahaja menggerakkan ekonomi, malah tampil dalam tanggungjawab sosial korporat.

“Lebih banyak keuntungan, lebih banyak pula kita boleh salurkan kepada pendidikan dan kebajikan rakyat,” katanya.