KENINGAU: The Crocker Range Festival (TCRF) kembali untuk edisi ke-8 dari 26 hingga 29 Jun ini di Dataran Keningau, menampilkan pelbagai aktiviti budaya, seni, dan komuniti dengan pengisian lebih segar dan inklusif.
“Tahun ini, kami bawakan tiga komponen baharu iaitu Sabah Cultural Fiesta, Keningau Youth Fiesta dan Kids Fiesta bagi menarik semua lapisan masyarakat,” kata Pengerusi Penganjur, Rafie Robert.
Antara kemuncak festival ialah persembahan eksklusif oleh dua ikon seni etnik tempatan, Alena Murang dan Belle Sisoski.
“Kehadiran artis-artis hebat ini bakal memberikan pengalaman budaya yang lebih mendalam kepada pengunjung,” ujarnya.
Beliau berkata TCRF bukan sahaja meraikan warisan budaya, malah memacu perpaduan komuniti.
“Kami amat teruja untuk meneruskan kesinambungan TCRF sebagai platform memartabatkan budaya dan memperkukuh perpaduan masyarakat.
“Festival ini juga membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk secara langsung sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi luar bandar dan menyokong dasar pelancongan Kerajaan Negeri,” katanya.
Penganjuran ini selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menekankan pemerkasaan sektor pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi negeri, tambah Rafie.
Orang ramai dijemput hadir bagi menikmati keunikan budaya Sabah yang kaya dan berwarna-warni. Untuk maklumat lanjut, layari facebook.com/TCRF.Keningau atau hubungi 019-8523303.






