
TAWAU, SABAH – Mayat lelaki yang ditemui rentung dalam bilik sebuah rumah di Taman King Fook, Jalan Utara sini pagi kelmarin dikenal pasti sebagai anggota polis berpangkat lans koperal.
Pihak polis turut mendapati kecederaan pada bahagian kepala mangsa dipercayai daripada kesan tembakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sepucuk pistol dipercayai milik mangsa turut ditemui bersebelahan mayat.
“Perkara Itu masih dalam siasatan sebab bedah siasat belum dibuat.
“Cuma setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat atau jenayah,” katanya ketika dihubungi wartawan.
Walaubagaimanapun, mangsa, Yogeswaran A/L Supiah berusia 35 tahun, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah dibawa ke Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat.
Mengulas lanjut tentang laporan kejadian kira-kira 11.20 Sabtu itu, Jasmin berkata pintu rumah terkunci dan pasukan Bomba terpaksa dipanggil bagi memecahkan kunci untuk masuk ke dalam rumah.