TENOM: Kerajaan Sabah memperkenalkan Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan berjumlah RM1 juta serta memperluaskan pelaksanaan Program SME-Up 2026 sebagai usaha memperkasa usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif itu bertujuan membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran, kualiti produk serta memperluas pasaran ke peringkat lebih tinggi.
“Ketua Menteri telah meluluskan Tabung Khas untuk PMKS Sabah bermula dengan dana sebanyak RM1 juta sebagai inisiatif untuk membantu usahawan yang berdepan cabaran semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan PMKS Sabah 2026 Zon Tenom di Pentas Terbuka Padang Bandaran Pekan Tenom, di sini, hari ini.
Ewon berkata, tabung khas itu turut diperluas skopnya pada tahun ini dengan memasukkan koperasi sebagai antara penerima manfaat, selain usahawan dan persatuan keusahawanan.
“Antara skop bantuan termasuk pembiayaan modal permulaan, peningkatan kualiti produk, pemasaran, pembelian mesin dan peralatan serta pembangunan modal insan,” katanya.
Katanya lagi, bantuan itu tertakluk kepada kelulusan jawatankuasa di peringkat kementerian dengan had maksimum RM20,000 bagi setiap permohonan.
Selain itu katanya,Program SME-Up 2026 akan diperluaskan ke beberapa daerah di seluruh Sabah bagi meningkatkan penyertaan usahawan tempatan.
“Program outreach SME-Up ini akan menjelajah ke beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Tenom, Keningau, Membakut, Putatan, Kota Marudu dan Kadamaian,” katanya.
Menurut beliau, program berkenaan menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan, mesin retort, pendaftaran cap dagangan serta pensijilan halal bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing produk.
“Sehingga tahun 2025, seramai 5,879 usahawan telah menerima bantuan mesin dan peralatan di bawah program ini,” tambahnya.
Selain itu, beliau berkata kementeriannya turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk pasar raya tempatan dan antarabangsa bagi memperluas pasaran produk usahawan Sabah.
Katanya, usaha berkenaan termasuk kerjasama dengan pasar raya tempatan serta perancangan untuk menembusi pasaran Semenanjung Malaysia melalui rangkaian pasar raya utama.
Ewon turut menggalakkan usahawan yang mempunyai lesen perniagaan sah dan aktif untuk memohon bantuan yang disediakan di bawah kedua-dua inisiatif berkenaan.
“Saya berharap usahawan, persatuan dan koperasi dapat mengambil peluang ini untuk meningkatkan kapasiti dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Karnival Usahawan PMKS Sabah 2026 Zon Tenom yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan puluhan usahawan tempatan serta agensi kerajaan dalam usaha memperkasa ekosistem keusahawanan di peringkat akar umbi.






