KOTA KINABALU; Usaha memperkukuh kolaborasi antara komuniti dan warga pendidik terus diperkasa apabila Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) menganjurkan program sukan pickleball bersempena sambutan Hari Guru, sekali gus menyemai budaya hidup sihat dalam kalangan pendidik di Sabah.
Focal Person Kebangsaan PIBKS, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, penganjuran program tersebut bukan sekadar meraikan sambutan Hari Guru pada 16 Mei, tetapi turut menjadi platform strategik untuk mengeratkan hubungan antara komuniti dan warga pendidikan.
“Program hari ini menghimpunkan guru-guru, pengetua, guru besar, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta Pejabat Pendidikan Daerah. Tujuannya bukan sahaja meraikan Hari Guru, tetapi memperkukuh kolaborasi antara komuniti dan pendidik,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan melalui aktiviti sukan seperti pickleball mampu mewujudkan suasana lebih santai dan inklusif bagi membina jaringan kerjasama yang lebih kukuh.

“Selain mengeratkan silaturahim, aktiviti sukan ini juga menyumbang kepada kesihatan fizikal dan mental. Apabila minda sihat, suasana kerja juga lebih positif dan produktif,” ujarnya.
Seramai 80 peserta menyertai program itu, termasuk guru dari daerah Ranau dan Keningau, menjadikannya siri kedua selepas penganjuran terdahulu di Kolombong.
Arif turut memaklumkan bahawa program seumpama itu akan diperluaskan ke daerah lain melalui kerjasama PIBKS di peringkat tempatan.
“Kita akan teruskan penganjuran program sukan bersama komuniti dan warga pendidik di setiap daerah kerana kolaborasi ini amat penting demi kepentingan pendidikan anak-anak kita,” katanya.






