Belum Buka Gerai, Pelanggan Sudah Beratur di Tamu Belia Tuaran 3.0

Belum Buka Gerai, Pelanggan Sudah Beratur di Tamu Belia Tuaran 3.0

0
SHARE

TUARAN: Pelanggan sudah mula beratur ketika gerai baru hendak dibuka. Itu antara pengalaman manis pemilik BurgerThoi Ent, Samsul A., 27, sepanjang menyertai Karnival Tamu Belia Tuaran 3.0 dari 28 Oktober hingga 1 November 2026.

Karnival tersebut dianjurkan oleh Tuaran Youth Town Club (TYTC) di bawah pimpinan Datuk Mohammad Ghazali Hajiji selaku Pengerusi TYTC merangkap Pengerusi Penganjur.

Penganjurannya membuka ruang kepada usahawan belia memperkenalkan produk, memperluas pasaran dan membina rangkaian pelanggan baharu.

Usahawan belia asal Kampung Tajau, Tuaran, yang mesra disapa Thoi itu berniaga di bawah khemah bersaiz 20 x 20 di Padang Istiadat Pekan Tuaran dengan menawarkan pelbagai pilihan burger serta produk makanan daripada vendor tempatan.

Menurutnya, sambutan sepanjang lima hari karnival amat menggalakkan, dengan kehadiran pelanggan daripada pelbagai peringkat umur.

“Alhamdulillah, hasil jualan sepanjang karnival ini amat memberangsangkan dan di luar jangkaan kami. Sambutan yang diterima turut memberikan semangat serta motivasi kepada kami untuk terus menjalankan perniagaan.

“Apa yang lebih menarik, ketika kami baru hendak memulakan persiapan dan membuka gerai, pelanggan sudah mula beratur untuk membuat pesanan,” katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya, Thoi menganggarkan hampir 70 peratus pelanggan yang mengunjungi gerai BurgerThoi merupakan pelanggan baharu, manakala sekitar 30 peratus lagi ialah pelanggan tetap.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan bahawa karnival berkenaan membantu perniagaannya menjangkau pasaran lebih luas. Malah, terdapat sekitar tiga hingga empat pelanggan yang kembali membeli setiap hari sepanjang program berlangsung.

Penyertaan BurgerThoi turut membuka peluang kepada usahawan kecil lain apabila perniagaan itu bekerjasama dengan Lavaacake serta menyediakan ruang kepada vendor, khususnya golongan suri rumah, untuk memasarkan produk mereka.

Antara produk yang mendapat sambutan ialah Burger Banjir Cheese Thoi, Kek Tapak Kuda by Aien, Dubai Chewy dan Tauhu Begedil by Tasha Musli.

Menurut Thoi, sistem vendor tersebut membolehkan pelanggan menikmati lebih banyak pilihan makanan, selain membantu pengusaha kecil menjana pendapatan sampingan dan memperkenalkan produk masing-masing.

“Bagi saya, pendekatan sistem vendor ini bukan sahaja membantu meningkatkan variasi produk yang ditawarkan, malah turut membuka peluang ekonomi kepada usahawan kecil yang lain,” katanya.

Beliau menyifatkan Tamu Belia Tuaran sebagai platform yang wajar diteruskan kerana menyediakan ruang kepada golongan belia untuk berniaga serta mengetengahkan bakat, minat dan kreativiti.

Bagi penganjuran akan datang, beliau berharap pengisian terus dipelbagaikan merangkumi keusahawanan, hiburan, keagamaan dan bidang lain supaya lebih ramai belia dapat mengambil bahagian.