PITAS: Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim hari ini turun padang menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Majlis Daerah Pitas, Pitas dan PPS SMK Tandek 2, Kota Marudu.
Azrul yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, kunjungan tersebut bertujuan menyatakan sokongan moral kepada mangsa terjejas selain meninjau sendiri keadaan semasa di pusat pemindahan.
“Saya bersama pimpinan Pemuda Gagasan Rakyat menyantuni mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Dewan Majlis Daerah Pitas dan PPS SMK Tandek 2 di Kota Marudu, di samping beramah mesra dengan para petugas.
“Kami menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap semua mangsa banjir yang terjejas serta merakamkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah, Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Sri Dr Ruddy Awah, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah, Jais Asri, serta Pegawai Daerah Pitas dan Kota Marudu.
Azrul turut mendoakan agar semua mangsa yang terjejas diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berkenaan serta berharap keadaan banjir dapat kembali pulih seperti sediakala dalam masa terdekat.
Beliau menegaskan komitmen Pemuda Gagasan Rakyat untuk terus bersama rakyat, khususnya ketika berdepan situasi bencana, sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.






