Sabah Oriental Hotel Anjur Semula Program Sentuhan Kasih Ramadan Selepas Hampir Sedekad

Sabah Oriental Hotel Anjur Semula Program Sentuhan Kasih Ramadan Selepas Hampir Sedekad

0
SHARE
Herman dan Razali ketika merakamkan gambar kenangan bersama 20 kanak-kanak yatim yang diraikan.

KOTA KINABALU: Sabah Oriental Hotel kembali menganjurkan Program Sentuhan Kasih Ramadan bersama komuniti selepas kali terakhir diadakan sekitar tahun 2016 atau 2017, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan hotel berkenaan untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

Pengurus Besarnya, Herman Laurens berkata, penganjuran semula program tersebut adalah berlandaskan komitmen pengurusan tertinggi hotel untuk terus memainkan peranan sosial, khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Kali terakhir kita anjurkan program seperti ini sekitar 2016 atau 2017. Sebabnya mudah, kita cuba untuk memberi semula kepada komuniti.

“Apa sahaja peluang dan rezeki yang diberikan oleh masyarakat kepada kami, kita cuba kembalikan semula. Ini juga merupakan misi utama pihak pengurusan kami, termasuk Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO). Saya mewakili mereka dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Ramadan bersama Sabah Oriental Hotel, di sini, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi yang sekaligus turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 20 kanak-kanak yatim.

Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pihak hotel dan komuniti setempat, malah memberi makna besar terutama kepada kanak-kanak yang disantuni dalam majlis berkenaan.

“Kita cuba untuk terus menyumbang kepada masyarakat. Adalah sesuatu yang baik untuk kita membantu, khususnya kepada kanak-kanak.

“Pada masa hadapan, harapan kami agar dapat melaksanakan lebih banyak program seperti ini, malah mungkin lebih besar daripada yang diadakan sekarang. Bukan hanya tertumpu kepada satu kelompok sahaja, tetapi diperluaskan kepada lebih ramai golongan yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.

Turut hadir Pengurusan Penjualan dan Pemasaran Sabah Oriental Hotel, Muhammad Fuad Rasul dan Jenny Larkins, yang bersama-sama dalam penganjuran program berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat hotel tersebut.