KOTA KINABALU: Cadangan pemasangan papan iklan digital di kawasan strategik seluruh Sabah berpotensi menambah hasil pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sewaan komersial, selain membolehkan hebahan kerajaan dikemas kini dengan lebih cepat.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, ruang paparan itu boleh disewa oleh pihak komersial, manakala kerajaan boleh menggunakannya secara percuma.
“Siapa semua yang komersial boleh sewa. Billboard digital untuk disewakan, dapat pendapatan. Tapi kalau kerajaan, percuma,” katanya selepas Majlis Penyerahan Smart TV dan Pembentangan Inisiatif Papan Iklan Digital serta Sistem Solar, di sini hari ini.
James berkata kementeriannya menyasarkan pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif yang dibentangkan, iaitu pengagihan Smart TV, papan iklan digital dan pemasangan solar di bangunan kerajaan, bermula Oktober tahun ini selepas perincian berkaitan diselesaikan.
“Ya, ketiga-tiganya tahun ini. Bermula bulan Oktober ini, kita akan laksanakan semuanya,” katanya sambil menjangkakan pelaksanaan inisiatif berkenaan berjalan lancar tahun depan.
Jelas James lagi, penggunaan papan iklan digital juga membolehkan mesej diubah mengikut keperluan, sekali gus mengelakkan paparan lama terus terpampang selepas sesuatu sambutan atau program berakhir.
“Kalau itu digital, dia boleh ubah-ubah. Tidaklah semak sana, semak sini,” katanya.
Beliau berkata lokasi dan bilangan papan iklan akan ditentukan melalui perbincangan antara kementeriannya, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) serta PBT. Urusan pelesenan pula akan dikendalikan PBT.
Menurut James, anggaran kos sebuah papan iklan digital ialah RM3 juta hingga RM4 juta. dan beliau menyasarkan pelaksanaan inisiatif itu bermula Oktober ini selepas perinciannya diselesaikan.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, cadangan berkenaan masih perlu diperincikan bersama pegawai kementerian dan PBT.
“Kita akan berbincang bersama Datuk SUT, pegawai-pegawai saya di kementerian serta pihak PBT, dan mendapatkan pandangan mereka terlebih dahulu. Selepas itu, kita akan perincikan,” katanya.
Arifin berkata pendigitalan itu berpotensi memudahkan urusan, mempercepatkan penyampaian maklumat serta meningkatkan keberkesanan kerja di peringkat PBT dan kementerian.






